Sivasuntharam calon PN di DUN Perai

PERAI – “Saya tidak kisah atau gentar dengan kempen calon ‘mewah’ Pakatan Harapan (PH) yang terjun dari tiba-tiba dari negeri lain dan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perai.

“Saya lebih percaya kepada tuhan dan juga pengundi Perai tanpa mengira kaum ada bersama saya dan saya yakin boleh mengejutkan PH melalui peti undi Sabtu ini.”

Demikian reaksi meyakinkan daripada calon Perikatan Nasional dari Gerakan, Sivasuntaram Rajalinggam yang menentang calon PH, S. Sundaraju di DUN Perai pada Pilihan Raya Negeri kali ini.

Jurutera itu tidak bimbang melawan di kubu kuat PH di DUN Perai yang pernah disandang oleh Timbalan Ketua Menteri II, P. Ramasamy.

“Kali ini saya lihat calon baharunya seorang tokoh korporat bergelar Datuk Seri menunjukkan pengaruh kuatnya dengan menurunkan menteri-menteri dari kerajaan Pusat untuk berkempen merayu sokongan undi untuknya.

“Tetapi saya tak bimbang atau gentar dengan pengaruh yang ditunjukkannya (Sundarajoo) kerana dia bukan anak jati di sini yang boleh serius memahami permasalahan sebenar di DUN Perai dan dia hanya boleh fikir dan mengendalikan sesuatu isu komuniti sebagai orang korporat aspek perniagaan.

“Saya anak jati Pulau Pinang yang sangat sebati dengan permasalahan yang menghantui penduduk khususnya pengundi India di sini yang memerlukan penyelesaian yang serius dan serta merta daripada segi peluang pekerjaan dan perumahan yang didapati terabai di bawah kerajaan negeri PH selama ini,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Menurutnya, walaupun terpaksa gadai barang kemas keluarganya dan menggunakan wang simpanan untuk berkempen akibat kekangan dana – ia tidak melunturkan semangatnya.

“Contoh terbaik saya boleh katakan adalah flat perumahan Teluk Indah yang indah sekadar nama tetapi persekitaran yang begitu kotor yang tidak diambil sebarang penyelesaian sejak 2008 dan isu perumahan penduduk India di Kampung Manis bukti kerajaan negeri yang jelas tidak serius dalam membela nasib penduduk di situ.

“Komuniti India di sini kebanyakannya tidak bersedia berjumpa sekiranya calon mewakili PH menyantuni mereka untuk meraih undi kerana mereka begitu kecewa apabila kebajikan dan taraf hidup mereka diabaikan tanpa jaminan pembelaan.

“Rata-rata majoriti pengundi India di Perai bersedia dan komited untuk menterjemahkan undi kepada saya dan PN. Begitu juga pengundi Melayu apabila jentera Pas yang turun berkempen untuk saya memberi jaminan saya tak perlu risau kerana undi Melayu solid untuk PN dan meminta saya fokus undi India dan juga komuniti Cina,” katanya lagi.

Ujar Sivasuntaram, setakat ini, dia sudah menyantuni hanpir 50 peratus pengundi dalam kalangan komuniti India dan Cina beserta Melayu dan respon mereka boleh dikatakan baik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast