SUNGAI BESAR – Selepas 12 hari berkempen, enam calon Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) di kawasan utara Selangor utara dilihat mempunyai kelebihan untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Pengarah Pilihan Raya PH Selangor, Mohd Yahya Mat Sahri berkata, ia susulan kegagalan tiga ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) di kawasan itu menunjukkan prestasi yang baik untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab di kawasan.
“Rakyat merasakan mereka tersalah pilih (Pilihan Raya Umum ke-15) kerana ketiga-tiga ahli Parlimen ini (Sabak Bernam, Sungai Besar dan Tanjong Karang) dikuasai pembangkang.
“Sepanjang sembilan bulan ini, tiga ahli Parlimen PN ini tidak mampu menjalankan tugas dengan baik malah pusat-pusat khidmat Parlimen gagal beroperasi serta menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan baik.
“Keresahan ini menjadi salah satu punca utama kenapa rakyat mahukan perubahan di peringkat DUN, tidak mungkin mereka memberi undi kepada pihak pembangkang,” katanya pada sidang media khas, di pejabat UMNO Bahagian Sungai Besar semalam.
Antara enam calon PH-BN yang bertanding dalam PRN15 di Selangor utara ialah Datuk Rizam Ismail (N01 Sungai Air Tawar), Samad Hashim (N02 Sabak), Datuk Mohd Imran Tamrin (N03 Sungai Panjang), Ng Suee Lim (N04 Sekinchan), Mohamad Khir Ramli (N08 Sungai Burong) dan Mohd Yahya (N09 Permatang).
Dalam pada itu, berdasarkan aduan dan rungutan rakyat setempat yang menyatakan kesulitan berurusan dengan tiga ahli Parlimen PN itu, Mohd Yahya yakin Kerajaan Perpaduan boleh dibentuk di Selangor selepas 12 Ogos ini.
“Setakat malam tadi, kita cukup yakin pembentukan Kerajaan Negeri Selangor oleh PH-BN akan berlaku, Insya-Allah. Daripada gerak kerja kempen yang telah dilaksanakan sepanjang 11 hari telah berjalan dengan lancar, keseluruhan gerak kerja kempen memenuhi semua pengundi dari semua peringkat umur, kaum dan golongan.
“Kempen kami mendapat sambutan cukup hebat dan menarik serta punyai keyakinan bahawa keenam-enam calon di DUN Selangor utara ini mampu untuk mendapat kemenangan keseluruhannya.
“Sambutan ini berikutan daripada prestasi yang ditunjukkan Kerajaan Negeri Selangor sepanjang memerintah dan juga daripada apa yang telah berlaku sepanjang pilihan raya lepas,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
UMNO SELANGOR ni bebal gaban tahap apa? Rafizi Ramli selalu berkata sekarang ini ANWAR IBRAHIM dan segala Menteri telah berusaha mentadbir kerajaan so apa ke bangang UMNO ni mengukur kebolehlaksanaan MP PN sebagai PEMBANGKANG? UMNO ni sebaris je… janji berbunyi….