SHAH ALAM – Wawasan 2020 yang diilhamkan Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad sebenarnya bukan untuk melihat negara ini maju.
Ia sebaliknya menjadi perpecahan orang Melayu dengan melatanya parti-parti politik.
Ketua UMNO Bahagian Puchong, Datuk Mohamad Satim Diman berkata, apa yang dirancang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih baik daripada Dr Mahathir apabila berjaya mengelak perpecahan Melayu lebih parah.
“Nak pilih yang mana? Perpaduan atau perpecahan? Yang kat sana tu, Ya Allah hari-hari kutuk tak habis-habis, masa dia memerintah 22 bulan dulu tak pun buat macam ini.
“Tapi lihat itu, rupanya dalam diam-diam orang itu merancang (Anwar) lebih baik daripada yang itu (Dr Mahathir). apa sudah jadi Wawasan 2020?
“Perpecahan antara orang Melayu dengan orang Melayu, daripada satu parti sekarang Melayu berapa parti.
“Itulah diwujudkan Wawasan 2020 oleh orang itu, rupanya nak melihat bukan kemajuan dan perpaduan, apa sudah jadi dengan negara kita sekarang,” katanya berucap pada majlis Santai Pengundi Luar DUN Sungai Panjang di bangunan UMNO Selangor, di sini malam tadi.
Tambah Satim, perpecahan orang Melayu lebih ketara dapat dilihat semasa pentadbiran 22 bulan Dr Mahathir dengan tertubuhnya Bersatu, Pejuang dan Muda.
“Dalam tempoh 22 bulan tubuhkan satu parti yang bergabung dengan Perikatan Nasional (PN), masa PRU dulu, pakai lambang rakyat boleh pula.
“Hari ini tubuh pilihan raya sendiri, ketika itu tumbuh parti Bersatu, kenapa Bersatu dalam tempoh 22 bulan, kemudian Pejuang, Muda, inilah perpecahan,” katanya.
Katanya lagi, rakyat perlu memilih blok politik yang menawarkan keharmonian dan perpaduan, bukan lagi perpecahan yang dibawa bekas Perdana Menteri itu.
“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dimasukkan dalam penjara, siapa yang masukkan dalam penjara itu? Hari ini jadi Perdana Menteri, mana nak sangka, orang pernah dipenjara, keluar, jadi Perdana Menteri.
“Bahasa kasarnya bekas banduan boleh jadi Perdana Menteri, Kluster Mahkamah pula boleh jadi Timbalan Perdana Menteri,” katanya.
Selain itu, katanya, walaupun usia Kerajaan Perpaduan yang baru memasuki sembilan bulan namun sudah berupaya memperkenalkan pelbagai inisiatif yang peduli rakyat.
“Orang itu (Anwar) dikutuk, dihina, difitnah dan dimasukkan ke dalam penjara, tengok baru masa sembilan bulan, dah elok semua, macam mana nak perbaiki hidup rakyat (beri subsidi padi).
“Subsidi ini untuk orang Sungai Besar, Tanjong Karang, Sabak Bernam, semuanya sawah padi.
“Dalam PRN Selangor ini yang akan kita nobatkan 12 Ogos ini, kalau kita tidak memilih kerajaan yang sama dengan Kerajaan Perpaduan yang di atas itu, macam mana keadaannya nanti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette