KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, P. Ramasamy yang keluar parti semalam meneruskan serangan terhadap Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.
Dalam kenyataan terbaharunya, Ramasamy mendakwa di bawah kepimpinan Anthony – DAP tidak lagi memainkan peranan sebagai ‘perisai politik dan budaya mereka yang menentang pelampau etnik dan agama’.
“Adakah terdapat perbezaan antara DAP, MCA dan MIC? Adakah terdapat langkah perlahan tetapi tidak dapat dielakkan di pihak DAP untuk dilabelkan sebagai “MCA 2.0”.
“Dia mahu memberi gambaran bahawa dia seorang yang agresif tetapi sayangnya tidak mempunyai keberanian dan ketabahan.
“Dia mudah lupa bahawa dia hanyalah seorang yes-man dan boneka kuasa gelap yang sejajar dengan ahli politik berasaskan keluarga dalam parti,” dakwa Ramasamy.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai selama tiga penggal itu turut mempersoalkan sikap Anthony yang tidak mendapatkan perjanjian yang lebih baik untuk DAP selepas pilihan raya umum lalu walaupun parti itu memenangi 40 kerusi Parlimen.
Beliau mendakwa, Anthony tidak melakukan rundingan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membuat tuntutan munasabah dan perjanjian yang lebih baik untuk parti.
“Setelah menyerah kepada kuasa dominan, dia berani menegur saya kerana tidak ikhlas, menunggang DAP dan memutar belit fakta.
“Jika beliau seorang yang demokrat, beliau mungkin perlu menjelaskan kepada umum mengapa jawatankuasa lima orang yang diketuainya enggan melayan permintaan munasabah jawatankuasa DAP negeri Pulau Pinang dalam memilih calon untuk pilihan raya negeri pada 12 Ogos.
“Mengapa jawatankuasa ini hanya berpegang kepada kehendak seorang dua orang untuk menamakan calon pilihan mereka?” soalnya.
Sementara itu, Ramasamy turut menjangka Chow Kon Yeow akan disingkir daripada jawatan Ketua Menteri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN).
Menurutnya, Kon Yeow akan dipilih semua oleh parti ke jawatan tersebut selepas PRN tetapi tidak lama.
“Penyandang ketua menteri Chow Kon Yeow tidak mempunyai sebarang suara dalam pemilihan calon yang ditentukan oleh pasukan yang sejajar dengan kuasa dan berakar umbi.
“Chow mungkin menjadi ketua menteri yang akan datang tetapi malangnya dia akan menjadi seorang itik tempang. Tinggal masa sebelum dia disingkirkan oleh pasukan yang bersekutu dengan satu atau dua orang berkuasa dalam DAP,” kata Ramasamy dalam kenyataan di media sosial.- MalaysiaGazette
Macam laaa ko tu berkebolehan…Malaysia tak perlukan pengganas, racis dan jenis tak boleh buat kerja mcm ko ni..blh blah