Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Grand Finale Kita Selangor sempena kempen Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) Selangor di Taman Keramat AU2, Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 10 OGOS 2023.

AMPANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan rakyat Selangor untuk tidak memandang ringan undi yang akan diberikan kepada calon pilihan mereka pada 12 Ogos ini.

Berucap pada ceramah Jelajah Perpaduan Madani Grand Finale, di sini, malam ini, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menegaskan, undi mereka adalah penentu kestabilan di negeri itu untuk tempoh lima tahun akan datang.

Katanya, kerajaan Selangor pimpinan PH dan Barisan Nasional (BN) mempunyai dasar-dasar untuk membangunkan negeri dan peluang perlu diberikan agar dasar tersebut dapat diteruskan.

“Jadi, saya minta jangan Pilihan Raya Negeri ini dipandang ringan. Saya harap kita akan buat keputusan yang terbaik. Anak muda tolong selamatkan negara.

“Jangan biar fahaman penunggang agama main kaum, sudahlah. Kamu cakap kaum Melayu tapi kamu sakau duit orang Melayu,” katanya.

Hadir sama pada majlis ceramah itu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Anwar turut meminta ke semua calon-calon yang bertanding di semua kerusi di Selangor memperkenalkan diri pada penghujung majlis tersebut.

Terdahulu, Anwar menyampaikan ceramah Grand Finale Kuala Selangor di Bestari Jaya, Ijok.

Anwar meluangkan masa hampir satu jam pada majlis itu dengan hampir 40 minit beliau diberikan ruang untuk berceramah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast