Calon Perikatan Nasional (PN) N24 Jeneri, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bercakap kepada media selepas perlawanan persahabatan bola sepak bersama penduduk kampung sempena Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) Kedah di padang bola sepak Felda Teloi Timur, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 07 OGOS 2023.

PADANG SERAI – Kerajaan Kedah telah meluluskan permohonan lesen melombong syarikat berkaitan ahli perniagaan Indonesia, Riza Chalid dua bulan lalu.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan permohonan syarikat yang mempunyai kepakaran unsur nadir bumi (REE) ke negeri itu.

Namun tegasnya, ia perlu dilakukan dengan prosedur betul dan sempurna dengan mengambil kira aset rakyat Kedah itu untuk dikongsi bersama kekayaannya.

“Saya tidak kira siapa kalau permohonan sempurna. Saya tidak kata dia (Riza) salah sebab permohonan sempurna.

“Tapi dia orang ini datang seolah-olah kita ini orang salah dan jahat. Tidak boleh buat begitu, meniaga elok-elok dan adil.

“Siapa nak mohon, boleh datang, saya sudah cakap banyak kali dalam ceramah. Siapa sahaja ada kepakaran dan usaha, datang. Datang mohon kita lulus. Tapi buat elok-elok harta Kedah. Jangan hangpa yang kaya dan orang Kedah jadi susah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Program Grand Finale Sembang Santai Bersama MB Kedah Sanusi Panglima Perang di Padang Awam Tunku Putra, Kelang Lama di sini hari ini.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi mengesahkan Riza dilaporkan menubuhkan syarikat Triple Golden Innovation untuk melombong REE di Kedah.

Menteri besar Kedah itu, berkata berkata syarikat tersebut didaftarkan pada 23 November 2022, hari yang sama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dinamakan sebagai perdana menteri ke-10.

Syarikat tersebut diperbadankan di bawah Akta Syarikat 2016 dan beralamat di Jalan Sultan Azlan Shah yang mana Riza ialah pengarah syarikat.

Sanusi yang juga pengarah pilihan raya Perikatan Nasional (PN) mendakwa Riza sebelum ini dibawa Anwar menghadap Sultan Kedah pada 2 Oktober 2022.

Beliau turut mendakwa Riza ingin mendapatkan permohonan melombong REE di negeri itu dan Anwar menjadi “broker” kepada taikun kontroversi itu.

Anwar bagaimanapun menafikan kenyataan Menteri Besar Kedah berkenaan. – MalaysiaGazette