TELUK KUMBAR – Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan setiap undi yang diberikan untuk memenangkan enam calon UMNO di Pulau Pinang hanya akan menguatkan DAP.
Sebaliknya, beliau menegaskan rakyat perlu menghantar isyarat jelas penolakan terhadap pimpinan Pakatan Harapan – Barisan Nasional (PH-BN) menerusi Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) esok.
”Kalau kita (Perikatan Nasional) berjaya menawan enam negeri sudah tentu Kerajaan Perpaduan tak senang duduk kerana mereka akan sedar penolakan PH-BN.
“Kepada rakan UMNO, tolong jangan menangkan calon UMNO di enam kerusi yang ditandingi kerana ia hanya akan kuatkan DAP di negeri ini.
“Inilah (PRN) peluang terbaik untuk rakyat menghantar isyarat kepada mereka (Kerajaan Perpaduan) yang kita tolak PH-DAP di Pulau Pinang,” katanya ketika berucap dalam ceramah kelompok PN di Kampung Masjid di sini malam tadi.
Hadir sama calon PN kerusi Dewan Undangan Negeri Bayan Lepas, Datuk Dominic Lau; Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee serta Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, gelombang kebangkitan rakyat menolak PH-BN kali ini tidak dapat disekat oleh mana-mana pihak namun semua ahli PN digesa agar tidak bertindak balas terhadap provokasi yang menyasarkan gabungan itu.
Kata beliau, ia susulan pihaknya dimaklumkan terdapat beberapa kain rentang dipasang dengan tulisan ‘Undi PN masuk syurga’ dan ‘Orang Melayu tidak mengalukan-alukan pendatang’.
“Kena ingat dalam tempoh semakin hampir hari mengundi macam-macam perkara boleh berlaku dan saya nak tegaskan di sini semua kain rentang itu bukan dipasang oleh kami (PN).
“Malah saya telah arahkan semua ahli PN untuk menurunkan kain rentang itu selain menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya.
“Semua ahli dan penyokong PN diminta bertenang dan Insya-Allah kita akan menang satu persatu negeri pada malam 12 Ogos ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Tuan Ibrahim turut merakamkan penghargaan kepada ahli Pas Bayan Lepas yang tidak mengambil pendekatan bertanding bebas selepas PN memutuskan calon Gerakan bagi kerusi DUN Bayan Lepas. – MalaysiaGazette
Menangkan PN PAS akan kuatkan Gelakan yg saman undang2 hudud..