KUALA LUMPUR – Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman yang baharu berkuat kuasa 30 Ogos ini.
Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM) ACP A. Skandaguru berkata jawatan lama Mohd Shuhaily akan disandang oleh Timbalan Pengarah (Pematuhan Standard) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard.
Selain itu, Ketua Penolong Pengarah (Siasatan Jenayah Pemalsuan/Pelaburan Bersindiket) Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang dengan memangku pangkat DCP.
“Komandan Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur Datuk Noor Hisam Nordin dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Pahang dengan memangku pangkat DCP,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kedah SAC Alzafny Ahmad pula dilantik sebagai Setiausaha PDRM, Urusetia Pejabat Ketua Polis Negara dengan memangku pangkat DCP.
Skandaguru berkata Allaudeen, Mohamed Usuf Jan, Noor Hisam dan Alzafny adalah antara 18 pegawai kanan yang terlibat dalam pertukaran jawatan, berkuat kuasa 30 Ogos ini.- BERNAMA