Datuk Seri Anwar Ibrahim singgah di Gerai Gulai Kalut di Balik Pulau, hari ini.

BALIK PULAU – Pemilik gerai Gulai Kalut, Ida Farida Zakaria sebak sebaik mengetahui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan singgah makan tengah hari di gerainya di Jalan Sungai Pinang di sini.

Menurut ibu kepada tiga cahaya mata itu, dia tidak menyangka gerainya dipilih sebagai lokasi persinggahan Perdana Menteri selain sukar untuk percaya ketika diberitahu pada mulanya.

Ida Farida.

“Sebaik tahu kedatangan pemimpin utama negara itu, saya  membuat segala persediaan termasuk mendapatkan ikan temenung susulan request (permintaan) daripada beliau untuk saya sediakan gulai ikan temenung.

“Saya dapatkan kira-kira 200 kilogram ikan temenung daripada nelayan tempatan di Jeti Kuala Sungai Pinang di sini untuk sediakan santapan tengah hari buat beliau serta 300 orang tetamu yang hadir sama.

“Selain itu, kami juga menyediakan gulai ikan jenahak dengan kuantiti sebanyak 30 kilogram,” katanya yang mengusahakan perniagaan Gulai Kalut sejak 2016.

Antara makanan lain yang disediakan, sambal petai, ulam, sambal belacan, ikan temenung goreng serta buah tembikai.

Antara makanan yang disediakan pemilik Gulai Kalut.

Terdahulu, Perdana Menteri tiba di gerai berkenaan pada jam 1.16 tengah hari bagaimanapun tidak sempat makan susulan kekangan masa perlu bergerak ke Masjid Kariah Kampung Perlis di sini, untuk solat Jumaat.

Hadir sama, calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Betong, Mohd Tuah Ismail; calon kerusi Telok Bahang, Ahmad Zaki Shah Shah Headan (BN) dan Pengerusi Yayasan Kolsum Bivi, Datuk Bahurdin Abdul Kader.

Tambah Ida Farida, dia reda meskipun Perdana Menteri tidak sempat jamah makanan yang disediakannya memandangkan beliau perlu bergegas ke tempat lain. – MalaysiaGazette