SERDANG – Calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang, Mohd Shukor Mustaffa bertekad tidak akan mengambil masa lama untuk mewujudkan laluan alternatif bagi mengelak laluan bertol yang menjadi rungutan di kawasan itu.
Menurut beliau, perkara itu merupakan antara agenda yang akan didahulukan jika beliau bergelar ‘Yang Berhormat’ selain perkara-perkara lain yang dalam perancangan untuk diperjuangankan.
Katanya, ketika ini pengguna jalan raya khususnya warga Seri Serdang terpaksa mengeluarkan belanja lebih untuk membayar tol sekurang-kurangnya RM4 sehari dan itu sangat membebankan.
Jelas beliau, penduduk Seri Serdang sepatutnya diberikan pilihan sama ada mereka boleh memilih laluan bertol atau tidak dan mewujudkan laluan alternatif adalah sesuatu yang sangat wajar.
“Kita tidak tolak pembangunan dan kita tahu betapa pentingnya laluan bertol ini.
“Tetapi, kita janganlah sampai biarkan Puchong ini dihimpit dengan tiga buah tol yang berdekatan. Jadi, dimana jalan alternatif yang mereka nak gunakan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Mohd Shukor berkata, beliau akan membawakan isu berkenaan untuk perhatian pihak yang terlibat dan semua itu tidak mustahil boleh dilakukan lebih-lebih lagi jika tampuk pemerintahan kerajaan negeri beralih kepada PN.
Katanya, warga Seri Serdang tidak boleh ditindas dengan memaksa mereka menggunakan laluan bertol sebaliknya, pilihan perlu diberikan supaya mereka tidak terbeban dengan situasi yang menghimpit ketika ini.
Tambahnya, jalan alternatif sememangnya perlu dibuat di mana-mana laluan bertol namun, di DUN Seri Serdang ia tidak wujud.
“Kalau kita lalu PLUS (projek Lebuh Raya Utara Selatan) mesti ada jalan lamanya, tetapi di sini tak ada.
“Walaupun ia mungkin akan sesak tetapi kena ada jalan alternatif. Itu yang saya nak laksanakan di sini nanti,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd Shukor mengharapkan agar pengundi-pengundi di DUN Seri Serdang membuat pilihan yang tepat ketika membuang undi pada hari esok.
Katanya, mereka perlu menilai faktor-faktor yang melibatkan kehidupan harian kerana jika tersilap, beban berpanjangan akan dirasai bagi tempoh lima tahun lagi.
“Inilah masanya mereka mahu merubah keperitan yang dialami selama ini. Mereka jangan lagi mempersiakan peluang yang ada kerana jika mereka tersilap mereka akan berpanjangan mertasai keperitan itu untuk tempoh yang lama,” ujarnya. – MalaysiaGazette