Rejean akan bertemu calon PH, Chua Wei Kiat yang juga penyandang kerusi Rawang pada PRN ini.

RAWANG – Calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rawang, R Rejean Kumar yakin pengundi di kawasan itu akan membuat keputusan bijak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) esok.

Kata Rejean, walaupun masih muda dan perlu berdepan dengan pencabar yang juga penyandang kerusi berkenaan, beliau tidak takut.

Beliau yang pertama kali bertanding dalam pilihan raya itu yakin, pengalaman mendekati, menyantuni serta mendengar keluh kesah penduduk Rawang bakal memberi kelebihan kepadanya.

Jelas calon yang berkelulusan kejuruteraan itu, walaupun DUN Rawang dikatakan ‘kubu kuat’ Pakatan Harapan (PH) khususnya PKR namun banyak isu tempatan ‘terbengkalai’ di kawasan itu.

Rejean (duduk, kanan sekali) memulakan walkabout seawal 7 pagi.

“Banyak isu-isu berkaitan masalah setempat termasuklah banjir, pendidikan, isu kebajikan, kemiskinan, jalan raya, kesesakan, longkang, bangunan terbiar, usang dan segala macam terus menghantui masyarakat di sini untuk sekian lama.

“Mungkin calon dan penyandang itu dari parti yang memegang tampuk kuasa kerajaan negeri, kerajaan persekutuan tetapi jika isu sama masih tidak di atasi dan hanya sekadar janji demi janji, sampai bila isu akan selesai?

“Pengundi juga tahu mereka tidak mahu digula-gulakan, mereka akan tetap buat keputusan untuk masa depan mereka dan janganlah terkejut jika kali ini calon parti lain menang,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Kata Rejean, beliau sendiri agak muak apabila ada pengundi yang bertanyakan jika undi PN bermakna kaum lain seperti Cina dan India akan disisihkan.

“Tidak betul kerana saya sendiri dalam kalangan India yang bertanding di sini. Saya bercakap bukan sahaja untuk kaum India tetapi semua berbilang kaum, Cina, Melayu, Orang Asli dan lain-lain. Isu rakyat yang perlu di utamakan dan bukanlah menakutkan mereka dengan isu-isu seperti ini.

Pada PRN lepas, kerusi DUN Rawang dimenangi oleh Chua Wei Kiat (PH-PKR) dengan pertandingan empat penjuru merebut kerusi di bawah Parlimen Selayang dengan majoriti undi sebanyak 23,860.

Wei Kiat mengalahkan Kong Tuck Wah daripada Parti Cinta Malaysia (PCM) yang mendapat 6,086 undi selain calon bebas, Azman Mohd Noor yang mendapat 644 undi manakala Chan Wun Hoong daripada Barisan Nasional (BN) hanya meraih 222 undi.-MalaysiaGazette