KUALA LUMPUR – Seramai 13 pengusaha bengkel kenderaan yang terlibat dengan perobohan di Taman Sungai Udang, Selayang boleh menarik nafas lega apabila kerajaan Selangor menyediakan tempat gantian untuk mereka meneruskan perniagaan.
Ini kerana kesemua mereka yang terlibat dengan perobohan premis itu akan ditempatkan di satu kawasan di Sunway Batu Caves, Gombak.
Presiden Kebangsaan Nambikkai, Datuk Dr Kalai Vanar berkata, kesemua pengusaha bengkel terbabit sebelum ini telah menerima notis pengosongan malah bengkel-bengkel mereka juga sudah dirobohkan tahun lepas.
“Dalam tempoh sembilan bulan ini selepas perkara itu berlaku (perobohan) kami tidak berasa puas. Saya telah menghubungi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan beliau jawab.
“Selepas kita buat demo besar-besaran yang dianjurkan oleh saya di SUK (pejabat kerajaan negeri) akhirnya mereka (peniaga) mendapat tempat baharu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Kalai berkata, Amirudin telah memberikan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) itu di Sunway Batu Caves dan mereka akan berpindah ke situ dalam waktu terdekat.
Parkara tersebut, katanya, bukan cakap kosong sebaliknya ia telah dibuktikan dengan adanya dokumen yang membenarkan peniaga berpindah di kawasan baharu.
Meskipun, pada mulanya kesemua mereka dicadang untuk dipindahkan ke satu kawasan di Bukit Beruntung namun ekoran faktor lokasi yang tidak sesuai akhirnya kerajaan negeri memberikan tanah di Sunway Batu Caves.
Justeru beliau berkata, Amirudin perlu diberi mandat untuk mentadbir Selangor sekali lagi susulan keprihatiannya terhadap masalah yang dihadapi rakyat.
“Kami mendedahkan perkara ini bagi menunjukkan terima kasih kami terhadap apa yang beliau (Amirudin) telah lakukan. Meskipun beliau telah difitnah dengan bermacam perkara tetapi boleh saya katakan itu semua sekadar mahu memburukkan nama baiknya sahaja,” ujarnya.
Sementara itu, seorang pengusaha bengkel, G. Mutusamy gembira kerana dapat menjalankan kembali perniagaan selepas terhenti sejak sembilan bulan lalu.
Katanya, perniagaan itu merupakan mata pencariannya dan pemberian tanah sementara itu benar-benar memberi peluang kepadanya untuk meneruskan kehidupan.
“Saya sangat berterima kasih kepada YB Amirudin yang sangat prihatin dengan situasi yang kami hadapi ini. Kami pengusaha bengkel amat menyanjung tinggi di atas peluang yang diberikan oleh kerajaan Selangor menerusi menteri besarnya kerana memahami keadaan kami,” ujarnya.
Seorang lagi peniaga, G. Viswaren mengharapkan agar ada bantuan dihulur kepada pengusaha bengekl terbabit untuk membangunkan bangunan untuk membuak bengkel baharu.
Katanya, mereka tidak mempunyai kewangan yang mencukupi kerana telah lama tidak menjalankan aktiviti perniagaan sejak bengkel mereka dirobohkan.
“Bukan kami tidak ada wang tetapi kami akan rasa lega jika ada bantuan diberikan sekurang-kurangnya untuk mendirikan bengkel baharu.
“Kami harap apa yang diluahkan ini akan mendapat perhatian dan didengar oleh pihak berkenaan demi kelangsungan kehidupan kami,” ujarnya. – MalaysiaGazette