perpaduan
Para petugas SPR membuat kerja-kerja semakan peralatan dan peti undi sempena persiapan akhir menjelang hari undi Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN) DUN Sikamat di Dewan Komuniti Taman Coral Heights Sikamat, Negeri Sembilan. Foto AFFAN FAUZI, 11 OGOS 2023.

ESOK, sebahagian besar daripada keseluruhan 838,200 pengundi di Negeri Sembilan akan menentukan siapakah dalam kalangan 83 calon bakal bergelar wakil rakyat bagi penggal baharu.

Daripada jumlah itu, hanya 36 calon yang akan dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mewakili kawasan-kawasan yang dimenangi mereka.

Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bakal menentukan sama ada kerajaan negeri yang baharu adalah seiring dengan Kerajaan Perpaduan atau sebalikya.

Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Negeri Sembilan bertukar status sebagai negeri penyokong kerajaan dan negeri pembangkang sebanyak tiga kali.

Sebelum kerajaan PH pimpinan Tun Dr Mahathir tumbang dengan sendirinya pada 24 Februari 2020, Negeri Sembilan yang juga ditadbir oleh PH adalah seiring dengan kerajaan Persekutuan.

Namun, bumi adat perpatih itu bertukar menjadi negeri pembangkang setelah kerajaan Perikatan Nasional (PN) berkuasa mulai 1 Mac 2020 hingga 16 Ogos 2021.

Status Negeri Sembilan sebagai negeri pembangkang kekal semasa era pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri mulai 21 Ogos 2021 hingga 10 Oktober 2022.

Selepas PRU15, Negeri Sembilan kembali bersama Kerajaan Perpaduan dan ia tidak mempunyai pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) selama lebih enam bulan sebelum DUN Negeri Sembilan dibubarkan 1 Julai lalu.

Keadaan itu berlaku kerana semua kerusi DUN dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada PRU14.

Terdapat pelbagai ramalan berhubung keputusan PRN Negeri Sembilan dan kebanyakannya menjangka gandingan PH dan BN akan kembali membentuk kerajaan.

Tidak kurang juga yang meramalkan PN mampu membuat kejutan besar dengan memenangi jumlah kerusi yang mencukupi untuk menamatkan penguasaan PH dan BN.

Pada masa yang sama, rakyat Negeri Sembilan yang semakin celik politik tentu tidak mahu situasi ‘tanpa pembangkang’ wujud sekali lagi agar kerajaan negeri tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya tanpa mekanisme semak dan imbang.

Walau apa pun, pilihan pengundi esok akan menentukan sama ada Negeri Sembilan kekal bersama Kerajaan Perpaduan atau kembali menjadi negeri pembangkang.

Mungkin juga situasi tanpa pembangkang wujud sekali lagi namun tidak mustahil PN membuat kejutan dengan memenangi antara lima hingga 10 kerusi.

Semuanya bergantung kepada keputusan PRN esok yang bakal menentukan hala tuju politik dan pentadbiran Negeri Sembilan selama sepenggal lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast