Mohd Asna Amin

SEREMBAN – Calon Barisan Nasional (BN) Mohd Asna Amin mengakui tidak pernah dipelawa atau dipersetujui pemimpin atasan parti sebagai calon Menteri Besar (MB) Negeri Sembilan sekiranya menang Pilihan Raya Negeri (PRN) esok.

Calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng itu berkata, dakwaan seperti yang tular sejak beberapa hari lalu juga tidak pernah diakui Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sebaliknya, Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban berkata, ia adalah taktik perang saraf pihak lawan melaga-lagakan hubungan baiknya dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

“Spekulasi kata saya calon MB bukan baru jadi semalam tapi dari hari penamaan calon lagi dan sewaktu kempen di Pantai yang turut dihadiri Presiden (Zahid), Datuk Seri Jalal sendiri ada kata mereka (pihak lawan) cuba melaga-lagakan saya dengannya berkaitan kerusi MB.

“Memasuki fasa akhir kempen hari ini, ini adalah cyberwar, serangan terakhir yang kononnya boleh memecah belahkan antara calon-calon BN.

“Malah ini taktik untuk melaga-lagakan antara saya dan pengundi Amanah supaya berlaku sabotaj undi pada saya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan kononnya berlaku perebutan kerusi MB antaranya dan Jalaluddin yang juga calon BN DUN Pertang sekiranya Pakatan Harapan (PH)-BN menang PRN esok.

Ditanya timbul dakwaan beliau mendapat laluan mudah ke jawatan MB kerana mempunyai hubungan rapat dengan Ahmad Zahid, Mohd Asna menafikannya.

“Penentuan siapa MB ini adalah atas keputusan antara pimpinan Majlis Presiden, Pengerusi-Pengerusi BN dan PH di bawah Kerajaan Perpaduan jadi bukanlah keputusan seorang individu sahaja seperti dakwaan artikel itu.

“Kami calon-calon ini taat dan akur apa sahaja keputusan pimpinan. Saya nak jadi calon DUN ini pun tak pernah mimpi dan tiba-tiba sahaja (dipilih) inilan pula untuk jadi calon MB,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 DUN Lenggeng dimenangi oleh PH yang diwakili oleh Suhaimi Kassim daripada Parti Amanah Negara (Amanah), sekali gus mengakhiri penguasaan BN di situ selama 13 penggal.

Namun pada PRN kali ini, kerusi DUN Lenggeng ‘dihadiahkan’ kepada BN yang kini bekerjasama dengan PH di bawah payung Kerajaan Perpaduan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. kekalkan aminudin sebagai mb, jangan la bagi jalal, kalau tak melingkup mundur macam jelebu.
    jalal gila kuasa

Comments are closed.