ALOR SETAR – Calon Perikatan Nasional (PN), Radhi Mat Din berharap pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Mengkudu akan memilih parti yang prihatin, bersih dan stabil kepada rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) esok.

Beliau yang juga bekas pemain bola sepak lagenda Hijau Kuning berkata, ini kerana parti yang terbukti bersih dari segala jenayah yang memenuhi kehendak rakyat sendiri yang tidak suka seperti rasuah, pecah amanah dan merompak hak rakyat.

“Kalau Abang radhi terpilih esok, semuanya kerana jasa warga Alor Mengkudu. Abang Radhi minta sangat-sangat supaya warga Alor Mengkudu memilih parti yang betul-betul Prihatin, Bersih dan Stabil kepada rakyat.

“Parti yang terbukti bersih dari segala jenayah yang rakyat sangat tak suka seperti rasuah, pecah amanah dan merompak hak rakyat.

“Warga Alor Setar kena pilih parti yang terbukti stabil. Buktinya, komponen dalam parti saling bantu membantu, percaya dan patuh kepada arahan pimpinan,” tulis di Facebook miliknya.

Radhi, 58, turut mengakui beliau bukan orang yang terbaik untuk memimpin rakyat tetapi kini berada dalam sebuah parti yang sangat hebat dan terbaik.

“Saya percaya dengan parti ini, saya mampu membawa suara warga Alor Mengkudu kedalam Dewan Undangan Negeri Kedah ini.

“Terus percaya kepada Perikatan Nasional. Kita akan bawa The Greater Kedah menjadi kenyataan,” katanya.

Esok, Radhi akan berdepan satu lawan satu pada PRN menentang Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar yang menyaksikan pertembungan kali kedua bagi mereka.

Sebelum ini mereka pernah bertentang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 di Parlimen Pokok Sena yang memihak kepada Mahfuz. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast