Calon BN N.23 Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz yakin bercakap kepada media selepas menyantuni penduduk sempena kempen Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) Selangor di Hulu Langat, Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 11 OGOS 2023.

HULU LANGAT – “Saya ikhlas, beri saya peluang untuk membela nasib penduduk kampung di sini. Saya hendak berkhidmat untuk semua warga Dusun Tua.”

Itu luahan calon Pakatan Harapan- Barisan Nasional (PH-BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz untuk dalam pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos esok.

Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih selama dua penggal itu berkata, pengalaman lepas memberinya kelebihan untuk memberikan khidmat kepada masyarakat – lagi-lagi isu membabitkan isu setempat seperti prasarana, infrastruktur dan ekonomi.

Jelas Johan, dirinya lebih memahami tugas sebenar sebagai wakil kepada rakyat.

“Saya menyeru kepada semua 74,000 penduduk dan pengundi N23 supaya memberi peluang untuk berkhidmat dan memajukan kawasan tersebut.

“Berilah saya peluang untuk berkhidmat untuk anda semua, saya mampu membela nasib anda semua. Malah saya sudah mempunyai pelbagai perancangan melalui setiap maklum balas yang saya dapat daripada penduduk hampir di pelusuk Dusun Tua ini,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad (dua kanan) bersama calon BN N.23 Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz yakin (kiri) menyantuni penduduk sempena kempen Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) Selangor di Hulu Langat, Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 11 OGOS 2023.

Johan meminta rakyat Selangor untuk memberikan sekali lagi peluang kepada beliau mentadbir DUN Dusun Tua.

Dalam pada itu, pihak lawan telah menampilkan muka baharu sekali gus memberi kelebihan kepada Johan untuk mengekalkan kerusi Kerajaan Perpaduan di DUN Dusun Tua.

“Calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Al Hafiz Ikhwan Mohamad Asaad merupakan muka baharu dalam gelanggang politik manakala Perikatan Nasional (PN) meletakkan Azhar Hambali pula sebelum ini adalah anak didik saya.

“Ini saya lihat sebagai kelebihan bukan kerana apa tetapi pengalaman saya berkhidmat puluhan tahun dalam parti politik kemudian menjadi ADUN,” ujarnya.

DUN Dusun Tua merangkumi 63 peratus pengundi Melayu, diikuti 28 peratus pengundi Cina, India tujuh peratus dan lain-lain dua peratus.

Pada PRU13, kerusi ini pernah dimenangi BN sebelum tewas kepada calon Pas sebelum DAP menang pada PRU-14. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast