V Sivakumar turun hampir seluruh kempen PRN 15 di enam negeri sejak dua minggu lepas.

KUALA LUMPUR – Timbalan Setiausaha Agung DAP, V Sivakumar menolak desas desus kononnya sokongan masyarakat India di negara ini yang rata-rata setia bersama Pakatan Harapan (PH) sudah beralih arah kepada Perikatan Nasional (PN).

Sebaliknya kata Ahli Parlimen Batu Gajah itu, kempen yang disertainya di keenam-enam negeri mendapati momentum sokongan kaum ketiga terbesar di Malaysia itu masih utuh terhadap PH terutamanya kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Semua itu sekadar mainan psikologi, perang saraf atau ‘black ops’ sahaja. Ini bertujuan untuk mengelirukan pengundi dan penyokong kita sahaja. Tetapi jika anda lihat, hampir kesemua pengundi ini senang dengan Kerajaan Perpaduan yang ada hari ini.

“Selain kerja hakiki sebagai Menteri Sumber Manusia, saya turun hampir setiap ke setiap pelusuk negara bertemu dengan pelbagai masyarakat berbilang kaum termasuklah kaum India. Semua senang dan gembira, malah mereka juga menerima baik kerjasama Kerajaan Perpaduan kerana tidak ada lagi ‘politiking’.

“Kita hanya mahu bekerja, itu sahaja. Kerajaan yang ada hari ini sedang melakukan apa yang rakyat mahu. Kerana itu juga, sokongan tidak kira India atau yang lain, semuanya masih mahukan perpaduan dan kestabilan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Seramai 9.67 juta pengundi akan menunaikan tanggungjawab memilih wakil mereka di peringkat DUN di enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu. 

Seramai 122,160 orang layak mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) untuk Parlimen Kuala Terengganu.

Sebanyak 17,048 saluran mengundi disedia di 3,190 pusat mengundi di semua 245 kawasan DUN di enam negeri itu, manakala untuk PRK Parlimen Kuala Terengganu, 217 saluran mengundi disediakan di 41 pusat mengundi. -MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.