CYBERJAYA- Kerajaan bercadang untuk menguatkuasakan undang-undang mewajibkan pemasangan sistem kamera tertutup (CCTV) di semua pusat penjagaan kanak-kanak berdaftar.
Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan mengenai perkara ini dan dalam masa yang sama melibatkan agensi-agensi serta jabatan lain pada masa akan datang.
“Penguatkuasaan yang lemah di bawah undang-undang sedia ada menyebabkan banyak pusat penjagaan kanak-kanak tidak memasang CCTV.
“Sebelum ini, kami telah mencadangkan idea tersebut namun mereka membantah disebabkan kos pemasangan CCTV yang dikatakan tinggi. Jadi, kami akan membuat penilaian sama ada perkara itu benar atau tidak.
“Perkara ini kami akan pertimbangkan dengan mendalam dan secara kolektif,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambah Nancy, pemasangan kamera CCTV boleh membina kepercayaan ibu bapa tambahan pula selepas berlakunya pelbagai insiden penderaan oleh pengasuh pusat penjagaan kanak-kanak dilaporkan sebelum ini.- MalaysiaGazette