Calon Pakatan Harapan (PH) N.07 Kuala Nerang, Ridzwan Abu Bakar bersorak selepas Ceramah Perpaduan Madani sempena Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) Kedah ketika di Dataran Putra, Pekan Kuala Nerang, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 10 OGOS 2023.

PADANG TERAP – Ungkapan ‘kepala bapak hang’ yang sering disebut Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam ceramahnya tidak menggambarkan karektor yang baik kepada seorang pemimpin.

Menurut calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Nerang, Ridzwan Abu Bakar, kata-kata yang dianggap biasa oleh Menteri Besar Kedah itu sebenarnya tidak dapat diterima umum.

“Dalam penggunaan bahasa, ada bahasa tengah dan bahasa baku, kalau menjadikan tempat-tempat terpencil ini sebagai rujukan untuk menjadi perkataan rasmi seorang pemimpin, tidak selayaknya untuk dia (Muhammad Sanusi) menggunakannya.

“Ada kalimah yang diterima sebagai mencarut bagi orang Kuala Kedah itu biasa tapi tidak bagi seorang Menteri Besar. Itu amat tidak berketepatan dengan karektor dengan seorang pemimpin,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika menghadiri ceramah Perpaduan Madani Kuala Nerang di Dataran Putra malam tadi.

Ridzwan berkata demikian mengulas kenyataan Muhammad Sanusi yang ungkapan ‘kepala bapak hang’ bukan kata-kata kotor walaupun ia sebenarnya kasar.

Muhammad Sanusi berkata, ia adalah slanga harian yang biasa digunakan di kawasan luar bandar seperti Baling dan Sik.

Jelas Ridzwan, walaupun kata-kata itu biasa bagi Muhammad Sanusi namun ia adalah satu kenyataan yang tidak selayaknya keluar daripada seorang pemimpin Pas.

Malah kenyataan itu tidak layak keluar daripada seorang Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), katanya.

“Ia boleh jadi biasa bagi penduduk Sik dan Baling tapi atas kedudukan beliau sebagai Menteri Besar itu bukan ucapan yang selayaknya.

“Bagi setiap posisi itu ada cara bercakap bagi setiap orang, saya rasa betul boleh jadi ucapan biasa tapi atas nama Menteri Besar itu bukan selayaknya untuk dia,” jelasnya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast