HARI ini, bermula jam 8 pagi sebanyak 3,190 pusat mengundi di enam negeri dibuka untuk membolehkan 9,674,456 pengundi berdaftar membuang undi memilih calon parti masing-masing.
Enam negeri yang berlaku pilihan raya hari ini ialah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu, iaitu negeri yang tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak dengan Dewan Rakyat pada 10 Oktober tahun lalu.
Enam negeri ini memilih untuk membubarkan sehingga tempoh penggal Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tamat Julai lalu sebagai tanda protes dengan sikap tergesa-gesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu adakan pilihan raya awal.
Berikutan pembubaran enam DUN negeri berkenaan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Julai urusan penamaan calon untuk mengemukakan kertas penamaan masing-masing.
Selepas tamat proses penamaan calon pada jam 10 pagi, SPR mengesahkan sebanyak 573 kertas penamaan bagi 245 kerusi DUN di enam negeri berkenaan telah diterima dan layak bertanding.
Bagaimanapun, daripada 573 kertas penamaan itu, satu telah ditolak iaitu calon Bebas, Tan Lay Tho di DUN N09 Kota Lama, Kelantan.
Kertas pencalonan itu ditolak oleh Pegawai Pengurus SPR DUN Kota Lama, Izzuddin Ab. Rashid selepas mendapati tidak memenuhi syarat ditetapkan.
Jumlah calon yang bertanding mengikut parti ialah Perikatan Nasional seramai 168 orang, Pakatan Harapan (138), Barisan Nasional (108), Pas (78), Parti MUDA (19), Parti Rakyat Malaysia (13), Parti Sosialis Malaysia (empat), PFP (dua), Parti Utama Rakyat (satu) dan bebas (41).
Pertandingan dua penjuru menyaksikan 181 DUN, tiga penjuru (51), empat penjuru (13) dan lima penjuru (satu).
Bilangan calon mengikut jantina ialah lelaki 501, wanita 71 orang, manakala umur calon tertua dan termuda ialah parti PRM bagi DUN N36 Pantai Jerejak Pulau Pinang berusia 80 tahun, Parti MUDA DUN N19 Bukit Antarabangsa, Selangor (23 tahun).
PRN enam negeri ini tidak ada kena mengena sama ada pentadbiran kerajaan pusat yang dipimpin PH-BN tergugat atau tidak, kerana pilihan raya ini adalah proses memilih kerajaan negeri.
Ketika ini, daripada enam negeri berkenaan, masing-masind tiga diperintah oleh Pas dan PH-BN, manakala lima negeri yang bubar serentak dengan Parlimen Oktober lalu iaitu Johor, Melaka, Perak dan Pahang ditadbir oleh kerajaan perpaduan dan Perlis oleh PN.
Kesimpulannya, jika keputusan PRN malam ini kekal seperti sebelumnya iaitu tiga dimenangi PN dan tiga lagi PH-BN, kedudukan rasmi secara tidak langsung ialah PH-BN tujuh negeri, PN empat negeri.
Namun sebaliknya, jika enam negeri dimenangi oleh PN, maka mereka mendapat tujuh negeri dan PH-BN empat negeri. Bagaimanapun, amat mustahil untuk PN menakluk Pulau Pinang yang majoriti disokong DAP.
Begitu juga Selangor, rakyatnya sudah selesa di bawah PH selama 15 tahun dan tidak ada sebab untuk mereka menamatkan keselesaan itu dengan tidak memberi peluang kepada Datuk Seri Amirudin Shari untuk kekal lima tahun akan datang.
Kelantan begitu sukar buat masa ini untuk ditembusi PH-BN kerana rakyatnya, walaupun berdepan dengan pelbagai permasalahan, tetapi memberi undi sokongan kepada Pas.
PN hanya sekadar menumpang kaki di Kelantan – negeri paling miskin, kerana wawasan mereka lebih berminat dan tertumpu untuk menawan Selangor – antara negeri terkaya di Malaysia.
Di Terengganu, rakyatnya antara yang paling unik berbanding negeri lain. Mereka sering bertukar kerajaan antara Pas dan BN sekiranya merasakan tidak ada keserasian sepanjang tempoh lima tahun diberi peluang memerintah.
Pas Kedah pula agak bernasib baik kerana gabungan dengan Bersatu dan Gerakan telah mengubah corak pentadbiran daripada BN kepada parti itu.
Negeri Sembilan, negeri yang 50-50 mempunyai sokongan, tetapi dengan gabungan BN dan PH, ada kemungkinan keputusan memihak kepadanya malam ini.
PRN ini juga merupakan pengalaman kali kedua untuk golongan muda 18 tahun keluar mengundi dan melunaskan sistem demokrasi, walaupun mereka tidak faham sepenuhnya sistem politik. – MalaysiaGazette