Andrew Ooi Ghee Oon menunjukkan laporan polis dibuatnya di di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut hari ini.

GEORGE TOWN – Calon Perikatan Nasional (PN)  Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Terubong, Andrew Ooi Ghee Oon desak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan pilihan raya semula bagi kerusi DUN berkenaan.

Ia susulan penemuan dua buah peti undi tidak bermeterai (seal) dengan baik di dua pusat pengundian berasingan membabitkan kawasan DUN itu iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Relau dan Dewan Blok 4E di Farlim di sini hari ini.

Jelasnya, dia juga telah membuat dua laporan polis bagi meminta siasatan dilakukan berhubung insiden penemuan dua peti undi yang didapati tidak bermeterai itu.

“Insiden pertama berlaku pukul 11.30 pagi ketika saya melakukan tinjauan di pusat mengundi SK Seri Relau dan pertikaian itu mengakibatkan saluran berkenaan ditutup selama dua jam sebelum dibuka kepada umum.

“Manakala insiden kedua berlaku di Dewan Komuniti Blok 4E kira-kira pukul 1.50 tengah hari namun saluran itu tidak ditutup kerana saya sudah tahu situasinya sama seperti pertama sebelum mengambil keputusan untuk tampil membuat laporan polis.

“Saya kesal dengan dua insiden yang berlaku membabitkan kawasan DUN Paya Terubong. Bayangkan ini yang dikesan mana tahu ada lagi insiden sama di pusat pengundian lain,” katanya selepas selesai membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut hari ini.

Tambah Andrew Ooi, SPR perlu membuat penjelasan mengenai insiden ini yang dianggap tidak adil bagi calon yang bertanding di DUN berkenaan.

“Saya tak kisah kalau kalah cuma nak pertempuran politik matang, biarlah dengan cara pemilihan betul,” katanya.

DUN Paya Terubong menyaksikan pertembungan dua penjuru antara Andrew Ooi dan Wong Hon Wai (Pakatan Harapan). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Haaaa tak dak modai lain kaaaa..kami nak LRT laaa..bukan nak Gelakan…buat balik pun hang tak blh menang…

Comments are closed.