Satees (baju putih) dakwa diugut oleh pengikut lawannya hari ini.

BUTTERWORTH – Calon bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Dalam, Satees Muniandy membuat laporan polis selepas bimbang keselamatan diri dan ahli keluarganya apabila mendakwa diugut individu yang rapat dengan calon Pakatan Harapan (PH).

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan  Bagan Dalam itu mendakwa kejadian itu berlaku di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Nyior di sini hari ini.

Satees mendakwa telah menerima ugutan itu ketika sedang membuat tinjauan di pusat mengundi di sekolah berkenaan  lebih kurang pukul 2.45 petang sebelum bertembung dengan calon PH, K. Kumaran bersama beberapa pengikutnya.

“Kumaran tiba-tiba memaki hamun dan mencabar saya untuk berlawan satu dengan satu dengannya sebelum beberapa rakannya turut mengugut dan menggertak mengancam keselamatan diri saya .

“Salah seorang pengikut calon PH itu pula mula memarahi saya dan mengugut dengan kata-kata; ‘Esok saya akan potong pokok dengan akar sekali’  seakan-akan mahu mengancam keselamatan saya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Sateesh, beberapa lagi pengikut calon lawan itu turut memberi amaran kepadanya termasuk mahu membuatkan hidupnya merana.

Satees yang bertanding menggunakan lambang pokok pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini menegaskan beliau melawat ke pusat mengundi itu untuk memantau keadaan peti undi selepas mendapat laporan proses pemilihan di satu saluran peti undi di Paya Terubong terpaksa dihentikan selepas kotak undi didapati tidak ditutup iaitu dimeterai (sealed).

Beliau tidak menyangka akan bertembung dengan calon PH bersama pengikutnya.

Ditanya bagaimana insiden itu bermula, Satees berkata, Kumaran memaki hamun selepas beliau bercakap dengan pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi melihat keadaan kotak undi.

“Pada mulanya, saya tidak melayan provokasi yang dilakukan oleh mereka namun mereka melampaui batasan dengan melemparkan ugutan yang bukan sahaja mengancam nyawa saya malah keluarga.

“Berikutan itu, saya telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Butterworth petang tadi dengan tujuan polis dapat memberikan perlindungan keselamatan untuk saya dan keluarga,” katanya.

Sementara itu, calon PH, Kumaran Krishnan@Kelvin yang turut dihubungi menafikan dakwaan Satees.

Beliau menyifatkan fitnah yang dilemparkan oleh bekas ADUN Bagan Dalam itu sebagai perbuatan terdesak.

“Saya tidak maki hamun dia, cuma saya kata kepada pegawai SPR yang bertugas supaya tidak membenarnya sesiapa sahaja memegang seal kotak undi menyebabkan dia (Satees) tak puas hati.

“Saya rasa dia (Satees) takut untuk menerima kekalahan dan mula buat bermacam-macam cerita mahu memburukkan orang lain.

“Saya sedia memberikan kerjasama membantu siasatan polis dan mengemukakan segala bukti yang ada bagi menafikan dakwaan Satees berhubung insiden itu.

“Selain itu, saya juga akan membuat laporan polis terhadap Satees atas tindakannya yang cuba sabotaj dan memburukkan pihak lawan,” tegasnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast