AMPANG- Dianggarkan lebih 4,000 warga Selangor terutamanya sekitar Ampang dan Gombak hadir ke Grand Finale Perikatan Nasional (PN) Selangor di Padang Awam Fasa 5, Taman Melawati yang bermula sekitar jam 9 malam ini.
Antara yang hadir Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Juga calon-calon PN Selangor antaranya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Hulu Kelang), Muhammad Hanif Jamaluddin (Sg Tua), Muhammad Hilman Idham (Gombak Setia), Sasha Lyna Abdul Latif (Bukit Antarabangsa), Sharifah Haslizah Syed Ariffin (Lembah Jaya).
Terdahulu ketika berucap, Azmin berkata, beliau banyak bermuhasabah diri selepas kalah pada Pilihan Raya Umum ke-15, sembilan bulan lalu.
“Saya redha tidak terpilih menjadi Ahli Parlimen Gombak tetapi ini bukanlah garisan penamat. Saya akan perbaiki diri dan terus melangkah maju mengangkat martbat rakyat.
“Gelombang rakyat dan kebangkitan sedang berlaku. Tidak ada sesiapa yang mampu menghentikan gelombang kebangkitan ini. Saya berharap semua yang hadir malam ini akan keluar mengundi awal pagi esok, pastikan peratusan keluar lebih 95 peratus.
“Insyaallah Allah, malam esok SPR akan umum Selangor sudah menjadi milik PN,” katanya diikuti tepukan gemuruh.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Arau, Shahidan berkata, beliau kagum kerana gelombang golongan muda yang menyokong PN dan dilihat sangat realisitik -MalaysiaGazette