AMPANG – Kehadiran calon Pakatan Harapan (PH) Bukit Antarabangsa, Mohd Kamri Kamaruddin membantu menolak kerusi roda isterinya ke pusat mengundi mengundang sebak orang ramai.
Pasangan itu bersama dua anak mereka menunaikan tanggungjawab berkenaan di SMK Seri Keramat sekitar jam 9.10 pagi tadi.
Menurut Mohd Kamri, isterinya, Suzana Shaharudin terpaksa berkerusi roda selepas menghidap kanser jarang berlaku iaitu gastrointestinal stromal tumor (GIST) tahap empat.
Namun, wanita berusia 52 tahun itu mengakui walaupun berdepan masalah kesihatan, ia tidak melunturkan semangatnya untuk sentiasa bersama dalam perjuangan politik si suami.
“Syukur saya dan dua anak berkesempatan membantu suami dan hadir bersama menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi,” katanya yang juga bekas Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa.
Kamri berdepan saingan tiga penjuru di DUN berkenaan menentang calon Perikatan Nasional, Sasha Lyna Abdul Latif dan calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Melanie Ting.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay turut hadir di sekolah sama bagi meninjau kelancaran proses pengundian hari ini.
Beliau sempat menyantuni pengundi di pusat berkenaan selain melawat saluran undi khas bagi warga emas bagi memastikan segala fasiliti dalam keadaan baik. – MalaysiaGazette