SHAH ALAM – Calon Perikatan Nasional (PN) mewakili Pas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik, Mohamed Sukri Omar menerima keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor malam tadi dengan hati terbuka.
Beliau yang tewas kepada penyandang, Najwan Halimi daripada Pakatan Harapan (PH) dengan majoriti 10,834 undi berkata, walaupun kalah tetapi jumlah kerusi yang dimenangi PN di Selangor sangat memberangsangkan.
“Alhamdulillah PRN telah pun selesai. Pengundi telah pun membuat keputusan. Saya menerima segala keputusan dengan hati terbuka.
“Walaupun PN tidak dapat menguasai kedua-dua DUN di Shah Alam tetapi peningkatan undi diperoleh adalah memberangsangkan.
“Insya-Allah kita akan terus berusaha pada masa akan datang,” katanya di sini hari ini.
Dalam pertandingan tiga penjuru semalam, Mohamed Sukri mendapat 27,636 undi tertinggal jauh dari Najwan yang memperoleh 38,470 undi manakala Azad Akbar Khan (MUDA) mendapat 2,631 undi.
Menurut Ketua Dewan Pemuda Pas Selangor itu lagi, walaupun belum lagi diberikan kemenangan tetapi PN Shah Alam akan terus menabur bakti kepada masyarakat kawasan itu.
“Terima kasih atas kepercayaan diberikan seluruh pengundi. Terima kasih juga seluruh jentera pilihan raya yang bertungkus lumus dan berkorban tanpa henti sepanjang PRN ini. Moga Allah mengurniakan sebaik-baik ganjaran,” katanya.
Sementara itu, calon MUDA bagi DUN Batu Tiga, Saiyydah Izzati Nur Razak akur dengan keputusan PRN malam tadi dan menyifatkan menang kalah adalah adat bertanding.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada warga DUN Batu Tiga kerana telah menjalankan tanggungjawab mereka sebagai rakyat.
“Dengan izin Allah, kita pasti bertemu lagi,” katanya ringkas.
Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Cheda berjaya mengumpul 1,908 undi manakala Danial Al Rashid dari PH yang diumumkan menang mendapat 29,064 undi dan Rina Harun (PN) mendapat 25,682 undi. – MalaysiaGazette