Komisioner Datuk Seri Azri Ahmad

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan siasatan secara menyeluruh kes sekumpulan anggota polis yang dikatakan melakukan kekerasan terhadap seorang penyokong parti politik di pekarangan sebuah balai polis di Kota Bharu, Kelantan Jumaat lepas.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Seri Azri Ahmad berkata siasatan akan dijalankan mengikut prosedur bagi mengenal pasti sama ada insiden berkenaan melibatkan kesalahan jenayah atau hanya salah laku.

Beliau berkata PDRM tidak akan berkompromi terhadap anggota-anggota polis yang terlibat dalam kejadian itu sekiranya terdapat unsur jenayah.

“Kalau siasatan itu hanya ada kesalahan salah laku, ia akan berakhir dengan tindakan tatatertib iaitu di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

“Sekiranya terdapat unsur jenayah dikesan dalam insiden itu, PDRM akan mengambil tindakan daripada sudut jenayah dan kami tuduh (di mahkamah),” katanya pada sidang media sewaktu Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Sebelum ini, tular rakaman video berdurasi 15 saat memaparkan seorang lelaki yang menunggang motosikal dan memakai bendera sebuah parti dikasari beberapa individu yang dipercayai anggota polis.

Sabtu lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan PDRM telah mengenal pasti anggota-anggota polis yang terlibat dalam kejadian itu.

Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, yang telah diumumkan untuk mengisi jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman yang baharu, menyerahkan tugas kepada Datuk Allaudeen Abdul Majid yang dilantik ke jawatan itu berkuat kuasa hari ini.

Sementara itu, mengulas tentang perkembangan kes penemuan bahan letupan pada kenderaan peguam Siti Kasim, Mohd Shuhaily berkata suspek masih belum dikenal pasti setakat ini.

“Polis tidak menemukan sebarang petunjuk baharu meskipun pelbagai sumber dan siasatan telah dijalankan.

“Buat masa ini, sebanyak 13 individu telah diambil keterangan. Tetapi kami tidak dapat menemukan sesiapa yang mempunyai motif. Kami mengharapkan jika sesiapa mempunyai maklumat lanjut (tampil) untuk panjangkan kepada polis,” katanya.- BERNAMA