Mohd Asna Amin

SEREMBAN – Barisan Nasional (BN) memerlukan masa untuk meyakinan pengundi dan ahli akar umbi mengenai kekuatan gabungan Pakatan Harapan (PH) BN.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Mohd Asna Amin berkata, adalah tidak tepat untuk melabel rakyat menolak PH-BN atau menganggap ia suatu pengkhianatan.

“Mereka sebenarnya masih tidak faham gabungan ini bukanlah suatu pengkhianatan dan tempoh dua minggu berkempen pula amat terhad untuk diperjelaskan kepada ahli akar umbi.

“Jadi tidak sepatutnya UMNO memberi tekanan kepada Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) cuma kita perlu masa lebih panjang untuk suntik doktrin PH-BN dalam kalangan rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban itu berkata, kejayaan BN Negeri Sembilan menang di 14 daripada 17 kerusi ditandingi membuktikan pengundi yakin terhadap gabungan dua blok parti itu.

“Sebab itu di Lenggeng, kita menang bila saya dapat menjelaskan kepada ahli akar umbi dan pengundi pentingnya menangkan BN-PH di bawah payung Kerajaan Perpaduan seperti di peringkat Kerajaan Pusat.

“BN memerlukan satu metodologi lain untuk jelaskan ini kepada rakyat macam dulu kita ada Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang membantu kita doktrinkan perjuangan BN kepada kelompok masyarakat kampung di pedalaman,” tambahnya.

Beliau turut mencadangkan badan seperti JASA diwujudkan kembali untuk  membantu PH-BN menyampaikan kebaikan gabungan itu sebagai persediaan untuk menang pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Keputusan rasmi PRN Negeri Sembilan semalam menyaksikan gabungan Kerajaan Perpaduan PH-BN kekal mentadbir negeri Adat Perpatih itu apabila meraih 31 kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) memenangi lima kerusi.

Dari segi pecahan parti PH-BN, UMNO mendapat 14 kerusi, diikuti DAP (11) PKR (lima) manakala Amanah memperoleh satu kerusi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast