KUALA LUMPUR – Kalah dalam pertandingan merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu bukan pengakhiran bagi calon Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Rina Harun.
Sebaliknya, beliau menganggap kekalahan itu sebagai batu loncatan baginya untuk terus maju ke hadapan.
Beliau yang akur dengan keputusan itu berkata, sudah menjadi hak pengundi untuk memilih calon masing-masing dan itulah prinsip demokrasi yang harus dihormati.
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Danial Al Rashid dari Pakatan Harapan (PH) yang telah diberikan mandat sebagai wakil rakyat di DUN Batu Tiga pada PRN ke-15 kali ini.
“Pada masa sama, saya akur dengan pilihan warga Batu Tiga kerana hak memilih itu merupakan hak setiap pengundi dan inilah prinsip demokrasi yang harus kita hormati.
“Kekalahan ini pula bukanlah pengakhiran kepada perjuangan saya dalam pentas politik tanah air, sebaliknya saya melihat ianya sebagai batu loncatan untuk saya terus maju ke hadapan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Rina, pengalaman itu juga akan menjadikannya seorang pemimpin yang lebih baik, matang dan arif di masa hadapan.
Apa yang pasti, beliau akan kekal untuk menabur bakti dan menyumbang khidmat kepada warga Batu Tiga walau tanpa apa-apa jawatan sekalipun.
“Saya juga bersedia untuk bekerjasama dengan wakil rakyat DUN Batu Tiga ini dalam apa sahaja perkara yang dapat memberikan kebaikan kepada penduduk.
“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada jentera kempen yang telah bertungkus-lumus dan bersungguh-sungguh membantu saya kali ini.
“Tahniah dan terima kasih juga kepada warga DUN Batu Tiga yang telah keluar menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi, terutama kepada 25,682 pengundi yang telah mengundi saya. Ketahuilah, saya amat menghargai setiap seorang daripada anda,” katanya. – MalaysiaGazette