KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Annuar Musa mengelak daripada membuat sebarang ulasan mengenai nasib yang menimpa UMNO dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).
Annuar berkata, UMNO sudah tidak relevan kerana rakyat mahu bergerak ke hadapan dengan visi dan keyakinan yang baru tanpa parti itu.
“Sudah lama saya cuba memberi pandangan dengan ikhlas hal mereka tapi naratif palsu presidennya juga yang dipakai mereka. Apa yang saya ramal berlaku sudah berlaku,” katanya dalam kenyataan.
Bekas Pengerusi UMNO Bahagian Ketereh itu berkata, keputusan PRN menunjukkan rakyat mengekalkan sentimen pasca Muafakat Nasional.
Rakyat katanya, mahukan permuafakatan kelompok teras dan parti-parti utama Melayu dan Bumiputera.
“Rakyat khususnya orang Melayu mengekalkan sentiment No Anwar, No DAP dan sekarang NO UMNO.
“Perikatan Nasional (PN) terus diterima sebagai pilihan lebih baik terutama kalangan pengundi Melayu dan juga sebahagian kaum kaum yang lain,” kata beliau.
Sementara itu Annuar berkata, amat penting untuk PN meneruskan usaha merekayasa dan membaiki diri menjadi parti yang lebih baik untuk rakyat berbilang bangsa dan agama.
PN juga harus menyahut cabaran untuk merangka dasar yang mampu membawa transformasi besar kepada negara.
“Yang pasti pasca PRN ini telah terbukanya jendela peluang untuk memperbetulkan setting dan format politik negara.
“Menerusi satu formula baru yang lebih menggambarkan aspirasi rakyat seperti yang telah ditunjukkan dari mandat sebenar semasa PRU15 dan PRN yang baru selesai.
“Selagi pembetulan ini tidak dilakukan, segalanya akan kekal tidak stabil dan tidak meyakinkan. Perlu dicari equilibrium politik yang benar benar mantap dan meyakinkan,” kata Annuar.
Beliau juga berkata, pendekatan kerajaan Madani akan terus ditolak oleh rakyat.
Ini selagi dasar itu memperagakan unsur retorik tanpa prestasi, menindas, menyalahguna kuasa dan kedudukan serta terus mengamalkan sikap angkuh yang dibenci rakyat.
Amalan yang tidak konsisten dengan apa yang diungkapkan serta tindakan terus mengendong bebanan tokoh-tokoh yang dibenci rakyat akan terus membenam dasar Madani dan Kerajaan. – MalaysiaGazette