Isham Jalil.-ZAINAL, 12 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO membantah keputusan Mahkamah Tinggi pada hari ini yang melepas dan membebaskan Presiden Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk rasuah berjumlah RM232.5 juta bagi parti itu.

Isham Jalil menyifatkan perkembangan terbaru berkenaan sebagai pelik kerana mendakwa Muhyiddin menyalahgunakan jawatannya sebagai Perdana Menteri sebelum ini untuk menyalurkan dana kepada parti politiknya.

“Ini amatlah pelik. Kalau begini, adakah apabila sesiapa jadi Perdana Menteri atau menteri selepas ini maka mereka boleh meminta rasuah dari kontraktor atau syarikat berjumlah beratus juta dari projek kerajaan di mana sumber dana adalah wang rakyat dan hasil cukai, asalkan mereka masukkan ke akaun parti politik mereka?

“Saya amat tidak bersetuju. Sebab saya dan rakyat Malaysia bayar cukai bukan untuk menteri-menteri dapat rasuah bagi kegunaan parti politik mereka,” katanya menerusi kenyataan.

Katanya, wang rakyat sepatutnya digunakan untuk kepentingan awam bukannya kepentingan peribadi pemimpin politik.

“Wang rakyat dan cukai tidak sepatutnya diguna untuk tujuan ini. Dan jika rasuah itu diterima untuk dimasukkan ke dalam akaun parti politik sendiri, ia adalah untuk kepentingan peribadi bukan untuk kepentingan awam.

“Sebab rakyat mempunyai pandangan politik yang berbeza dan membayar cukai bukan untuk menaja parti politik,” tambah beliau.

Sehubungan itu, beliau menggesa supaya Peguam Negara memnfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada hari ini.

Terbaru, Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan memfailkan notis rayuan berhubung keputusan melepas dan membebaskan bekas Perdana Menteri itu daripada empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti Bersatu berkaitan projek Jana Wibawa.

Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berkata, permohonan yang telah diputuskan oleh mahkamah sebentar tadi hanyalah berkenaan dengan empat pertuduhan bagi kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Muhyiddin sebelum ini didakwa menggunakan kedudukan beliau untuk suapan berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi parti itu.-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kalau dia boleh tentu DSNR juga boleh. tapi harus di ingat DSNR menyalurkan dana SRC RM42 juta untuk rakyat. Di mana keadilan.

Comments are closed.