KUANTAN – Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (PASFA) akan melaksanakan projek tanaman durian yang membabitkan tanah berkeluasan hampir 200 hektar di Lipis bermula tahun depan.
Selain penanaman durian jenis Musang King, turut menjadi pilihan adalah varieti Damak King dan Duri Hitam yang mendapat permintaan tinggi di pasaran, kata Pengerusi Jemaah Pengarah PASFA, Datuk Zamri Yaakob.
“Menerusi penanaman durian berskala besar di Kampung Chegar Perah, Lipis ini, kita sasar untuk eksport durian itu ke negara luar khususnya China, selain pasaran tampatan.
“Dalam tempoh lima hingga enam tahun lagi, kita akan dapat menuai hasil daripada 16,450 batang pokok yang akan ditanam di kawasan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Moh Kendurian PASFA di Ladang Kampung Mahkota, di sini, hari ini.
Selain di Lipis, PASFA juga katanya, akan membangunkan projek tanaman durian di atas tanah berkeluasan 13 hektar di Kampung Luit, Maran.
Dalam pada itu, Zamri memberitahu, hampir 200 pokok daripada 600 pokok durian yang ditanam di Ladang Kampung Mahkota, di sini sudah mula mengeluarkan hasil.
“Jadi, kita bercadang untuk menjadikan kawasan ini sebagai Agro Tourism, sebuah kawasan pelancongan, kerana ia berhampiran dengan bandar Kuantan.
“Kita akan bina Dewan Orang Ramai, Chalet dan lain-lain keperluan fasiliti selain cantikkan jalan masuk ke ladang ini supaya pelancong yang datang boleh menikmati suasana ladang durian di sini,” tambahnya.
Bukan sahaja boleh dilawati pada waktu siang, malah Zamri berkata, PASFA mahu pelancong bermalam sambil menikmati durian di kelilingi suasana di dalam dusun durian.
Selain itu PASFA, katanya, mahu mencari rakan kolaborasi pada masa hadapan untuk mengeluarkan produk-produk hiliran berasaskan durian seperti Coklat dan Aiskrim durian. – MalaysiaGazette