Tujuh pelajar termasuk seorang warga asing direman sehingga esok susulan kes pukul di Bistari dalam kejadian Isnin lalu.

JOHOR BAHRU – Tujuh pelajar lelaki termasuk seorang warga asing yang ditahan kerana disyaki memukul seorang remaja lelaki di Taman Bestari Indah Johor Bahru direman selama dua hari.

Perintah reman iyang bermula hari ini dikeluarkan Majistret R Salini di Mahkamah Majistret Johor Bahru.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub selamat berkata, kejadian berpunca daripada salah seorang suspek yang tidak berpuas hati kerana mangsa berkawan dengan teman wanitanya.

Katanya, polis mengesan video berdurasi 59 saat berkenaan kejadian tersebut yang tular dalam media sosial pada jam 8.45 malam Isnin.

“Video berkenaan memaparkan seorang remaja lelaki dipukul beberapa remaja lelaki di tempat awam.

Menerusi laporan polis itu, mangsa memberitahu ditendang, dipijak, disepak dan ditumbuk beberapa kali di bahagian depan dan belakang badan selain di bahagian perut, peha serta lengan kiri dan kanan.

“Mangsa dipukul enam remaja lelaki warga tempatan dan seorang remaja lelaki warga asing berusia 14 sehingga 17 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa mengalami kecederaan lebam di bahagian lengan kiri dan kanan, bengkak peha kanan serta mengalami sakit seluruh badan. – MalaysiaGazette