Presiden Putra, Datuk Ibrahim Ali bercakap pada sidang media pasca PRN15 di Pejabat Putra, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 14 OGOS 2023.

KEPUTUSAN Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang berlangsung pada Sabtu lalu sudah diumum secara rasmi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada malamnya.

Kedudukan secara mutlak ialah Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) kekal mentadbir Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, manakala Perikatan Nasional (PN) dari parti Pas, Bersatu dan Gerakan mempertahankan Kelantan, Terengganu serta Kedah.

Pelbagai rumusan dan analisa dikemukakan para penganalisis serta pemerhati politik mengenai kemenangan dan kekalahan PH-BN serta PN di kerusi DUN yang dipertandingkan.

MalaysiaGazette (MG) cuba mencungkil pandangan daripada Presiden Putra, Datuk Dr. Ibrahim Ali bagi mengulas dan mengupas keputusan itu berdasarkan kepada pengalaman luasnya dalam politik.

Ikuti wawancara dengan beliau di pejabat Putra di Kuala Lumpur semalam yang akan disiarkan dalam dua siri.

MG: Selepas selesai PRN di enam negeri Sabtu lalu, Datuk melihat apa dan kenapa keputusan seri boleh berlaku antara PH-BN dengan PN?

IBRAHIM: Saya membaca banyak ulasan tetapi saya hanya tumpu kepada ulasan daripada tokoh akademik sahaja. Saya tidak ambil kisah sangat laporan di media sosial seperti TikTok, Facebook, Instagram mahupun Youtube, sebab pada saya laporan sebegini tidak ada bahan yang hendak disampaikan kepada rakyat di luar sana dengan betul-betul berkesan.

Dalam PRN ke-15 ini, saya dan parti Putra telah membuat keputusan untuk tidak bertanding dan keputusan kita adalah tepat sekali kerana tumpuan Putra pada PRU16.

Sebelum keputusan PRN ini pun, saya telah membuat tinjauan sebelum dan selepas PRN dan saya mengumpul semua bahan-bahan atau info untuk kita mendapatkan gambaran sebenar.

Saya masih ingat lagi dua atau tiga hari sebelum hari mengundi, saya ada hantar kenyataan kepada MG mengenai jangkaan serta ramalan saya di enam negeri. Ternyata semuanya hampir betul iaitu 95 peratus jangkaan saya tepat.

Apapun pasca PRN ini, banyak pihak termasuk tokoh akademi daripada universiti dalam dan luar negara mengatakan bahawa pilihan raya ini ini jelas aliran mengundinya ialah polarisasi kaum.

Mereka memberi hujah atau alasan, parti DAP mendapat 95 peratus undi daripada masyarakat Cina dan semua kerusi yang mereka bertanding menang, cuma kalah di satu atau dua kerusi sahaja, tetapi secara mutlaknya mereka menang besar.

Kemudian PN juga menang besar di Pantai Timur iaitu Kelantan dan Terengganu serta Kedah di utara. Jadi, orang Melayu dilihat bersatu dengan Pas dan parti Bersatu. Ini yang dikatakan polarisasi kaum.

Presiden Putra, Datuk Ibrahim Ali bercakap pada sidang media pasca PRN15 di Pejabat Putra, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 14 OGOS 2023.

MG: Adakah kemenangan DAP ini disebabkan parti ini bergabung dalam PH dan mereka mendapat undi daripada orang Melayu?

IBRAHIM: Saya tak berapa nak setuju dengan pandangan itu, kerana dalam perspektif DAP, parti ini kalau kita tengok sejarahnya, sejak pilihan raya dari zaman Allahyarham Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri lagi mereka sudah mencapai kemenangan. Di mana kawasan Masyarakat Cina, DAP menang.

Tengok di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, beberapa Parlimen dimenangi DAP. Dalam konteks perkauman, jelas masyarakat Cina mengundi pemimpin dari kaum mereka. Ini berbeza dengan MCA yang bertanding dalam kawasan orang Melayu, boleh menang sebab mereka dalam BN. Ketika itu 60 hingga 65 peratus MCA menang. MIC pun sama.

Kemenangan MCA dan MIC ketika itu kerana orang Melayu menyokong BN terutama UMNO. Mereka bergabung dalam UMNO/BN tidak rugi sebab UMNO ketika itu tidak dilihat sebagai parti sakit sebagaimana sekarang.

Zaman Allahyarham Tun Razak, zaman Allahyarham Tun Hussein Onn dan zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad parti dalam keadaan stabil dan mendapat sokongan masyarakat Melayu mahupun Cina.

Cuma, UMNO mula sakit di zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi dan zaman Datuk Seri Najib Tun Razak. Tetapi, ia tidaklah seteruk sekarang. Waktu dua pemimpin ini, orang Melayu mula menunjukkan sokongan kepada Pas iaitu parti Islam orang Melayu.

Tetapi, bagi orang Melayu, mereka menyokong UMNO dan BN bukan atas dasar perkauman, kerana rakyat pada waktu itu berpendapat UMNO adalah sebuah parti yang berupaya mentadbir negara. Itu jelas, bukan kerana perkauman.

MG: Walaupun Pas telah memerintah selama 33 tahun di Kelantan dan tambah satu penggal lagi selepas menang pada Sabtu lalu, tetapi parti itu pernah tewas kepada UMNO/BN sebelum 1990.

IBRAHIM: Itu yang saya katakan, orang Melayu memilih UMNO dan BN bukan kerana perkauman tetapi kerana mereka tengok UMNO dan BN ini boleh diberi kepercayaan berdasarkan rekod sebelumnya, walaupun ada parti Pas dan tidak pernah menang, Tetapi selepas PRU 1990, Pas terus menang sampai sekarang, Terengganu sudah masuk tiga penggal dan Kedah masuk dua penggal. Pada saya, ini adalah sejarah yang berasingan.

Orang Melayu di Kelantan menolak UMNO pada tahun 1990 selepas Tengku Razaleigh Hamzah kalah bertanding jawatan Presiden UMNO dengan Dr. Mahathir dan orang Kelantan simpan kemarahan itu kepada UMNO serta Dr. Mahathir melalui PRU. Orang Kelantan marah kerana Tengku Razaleigh sebagai anak Kelantan tidak dapat jadi Perdana Menteri. Ini pendapat dan kajian saya.

MG: Kalau UMNO dan BN pernah menang di Kelantan dan di seluruh negara sehingga PRU14, kenapa mereka masih tidak boleh menerima parti yang diuar-uarkan sebagai parti keramat orang Melayu ini?

IBRAHIM: Jawapannya mudah, kerana UMNO sudah tidak boleh lagi dipercayai. Orang Melayu tidak ada pilihan, tidak ada alternatif maka mereka pilih Pas dan Bersatu iaitu antara parti buruk daripada yang terburuk.

Maknanya, rakyat tidak ada pilihan, terpaksa pilih yang buruk dari terburuk. Mereka tengok PH ini terburuk, tetapi Pas sekadar buruk. Walaupun buruk, mereka kena sokong, mereka tidak ada pilihan.

Seperti di Kelantan, semua tahu rakyat tidak puas hati dengan Pas kerana isu air, kemiskinan dan banyak isu rakyat yang tidak ditangani, tetapi rakyat tetap pangkah Pas walaupun benci kepada Pas sebab mereka terlalu benci kepada PH dan UMNO.

Walaupun begitu, pada firasat saya, kemenangan Pas di Terengganu, Kelantan dan Kedah ini bukan kemenangan mutlak. Pada saya, kemenangan ini adalah kemenangan kontemporari iaitu bersifat keadaan semasa. Ini yang menyebabkan Pas dan PN menang besar sampai kosong kerusi PH-BN di Terengganu.

Di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, Pas dan Bersatu tidak kuat. Pas tidak boleh membantu Bersatu menang sepertimana Pas membantu Bersatu menang di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Di Selangor, Pas tidak ada akar umbi. Orang Melayu berpecah dan ramai pergi kepada Parti Amanah. Bersatu pula tidak ada jentera dan banyak masalah dalaman. Kalau Bersatu kuat, mereka sudah jatuh berjaya menjatuhkan Selangor dan Negeri Sembilan Sabtu lalu.

Presiden Putra, Datuk Ibrahim Ali bercakap pada sidang media pasca PRN15 di Pejabat Putra, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 14 OGOS 2023.

MG: Kemungkinan banyak isu menyebabkan orang Melayu menolak PH-BN terutama dalam konteks BN yang paling teruk sehingga tinggal belasan kerusi Sahaja daripada lebih 100 yang dipertandingkan. Dengan keadaan ini, mungkinkah UMNO boleh bangkit lagi?

IBRAHIM: Sebab anak muda yang umur 18 tahun ini yang baru boleh mengundi ini semakin ramai. Apabila saya tanya pandangannya, mereka kata, kita tak nak UMNO. Dulu orang tak nak kepada pemimpin seperti isu 1MDB oleh Najib. Anak muda tidak ada ketika itu, malah mereka tidak tahu pun isu Najib ini, tetapi mereka tetap tolak UMNO, kecuali orang-orang lama. Ini pun sudah tinggalkan UMNO. Mereka protes sebab semua tahu terutama kes Presiden UMNO sekarang, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang terpalit dengan 47 kes yang dikenali sebagai pemimpin kleptokrasi dan rasuah.

Ini pun yang mengasak Zahid sebagai pemimpin rasuah adalah Anwar sendiri sebelum menjadi Perdana Menteri. Ingat tak masa PRU14, orang PH yang kuat bantai Zahid, kata UMNO rasuah, Zahid rasuah.

Tiba-tiba selepas PRU15, Anwar bercantum dengan Zahid dan dilantik Timbalan Perdana Menteri. Jadi, ini adalah suatu jenaka yang besar. Kepada rakyat dan anak muda, mereka rasa dipersendakan. Sebagai orang politik, kita jangan cuba hina minda anak-anak muda ini. Jadi, ini yang menyebabkan UMNO kalah teruk kerana sebelum ini semua orang tahu lafaz “No DAP, No Anwar”.

Zahid nak menegaskan tidak akan bersama DAP dan Anwar sampai melafaz sumpah sebagaimana didedah oleh Datuk Seri Ahmad Maslan. Rakaman video itu berputar setiap hari di mata rakyat. Maknanya, umpama UMNO ini pesakit kanser tahap empat. Tak boleh buat apa-apa lagi dah, tidak boleh sembuh.

Tambahan pula orang Melayu sudah boleh bergantung kepada parti baharu sebagai alternatif dan di sini, Pas dikira bernasib baik kerana dalam waktu orang tolak UMNO dan parti lain belum bersedia, mereka menjadi sandaran dan rakyat memberi undi kepada Pas.

Isu kedua pula, orang Melayu dan ahli UMNO sendiri tidak boleh terima penyertaan parti itu dalam PH sebab selama-lamanya DAP ini digambarkan sebuah parti anti Melayu dan Islam.

Ini sebagaimana DAP menanam dalam minda orang Cina bahawa kalau nak selamat undi DAP, jangan sokong orang lain, parti lain. Undi parti bangsa kita, maka orang tolaklah UMNO-PH.

MG: Kerajaan perpaduan memperkenalkan slogan atau konsep Malaysia Madani. Ini sudah cukup untuk memberi gambaran kerahaan PH-BN adalah kerajaan untuk orang Melayu.

IBRAHIM: Pada saya, pemimpin Madani ini nampak syok bercakap, tetapi mereka tidak sedar dasar ini yang menyebab dan menambahkan lagi orang marah serta tidak yakin dengan PH bahawa Melayu dan Islam akan selamat masa depannya.

Saya bukan bercakap soal 3R. Isu ini pun satu hal juga sebab kita orang Islam kena bercakap bab Islam, kita bangsa Melayu kena cakap bab orang Melayu dari dulu lagi. Ini dilarang tidak boleh bercakap 3R terutamanya Melayu dan Islam, tetapi bangsa lain? Mereka hari-hari bercakap. Mereka kempen dalam bahasa mereka, ceramah dalam bahasa mereka, kita tak faham. Dalam Tiktok pun banyak dalam bahasa mereka, yang kita tengok hanya Tiktok (dalam bahasa) Melayu saja.

Ini yang menyebabkan orang Melayu terlalu takut dan ditambah pula dengan Proklamasi Melayu yang dilancarkan oleh Dr. Mahathir. Semua ini membantu PN. Dr Mahathir pun beri sokongan kepada Pas. beliau hadir ceramah umum di Kota Bharu.

MG: Dr. Mahathir seeloknya perkasakan parti Pejuang yang ditubuhnya.

IBRAHIM: Dia tubuh parti Pejuang kerana nak test market ternyata rakyat tolak. Rakyat tengok dia sudah berumur, maka orang tuduh dia macam-macam. Orang asak dia, tapi dia terus berjuang.

Walaupun dia tidak lagi bersama Pejuang, tetapi percakapannya yang mengulangi bab Melayu secara tidak langsung membantu, menyebabkan semua orang Melayu pergi kepada Pas, manakala Bersatu pun dapat untung sedikit.

MG: Apa faktor yang menyumbang kepada kekalahan 22 kerusi PH-BN kepada PN di Selangor?

IBRAHIM: Yang paling besar menyumbang penurunan sokongan kepada PH-BN di Selangor, Negeri Sembilan, Kedah dan Pulau Pinang sebagaimana yang saya nyatakan tadi. Orang Melayu lebih suka kepada Pas sebab mereka tidak boleh terima DAP dan Anwar khususnya.

Selain isu ini, ia juga berkaitan dengan dasar Malaysian Malaysia PH yang didokong oleh DAP. Walaupun tidak disebut Malaysian Malaysia, kita tahu dasar sekularisme, nak pertahankan negara sekular. Memang amalan negara kita sekular, tapi jangan sebut, sebab bila sebut orang Islam terasa. Maknanya memisahkan agama dengan politik serta dasar pluralism seolah meletakkan semua agama ini sama.

Kemudian liberalism, LGBT dan hampir pilihan raya baru ini ada konsert The 1975 yang puak gay bercium di atas pentas. Semua ini orang mengatakan berlaku kerana PH kerana dasar PH, walaupun tak nampak, tapi PH diam, buat-buat tak nampak.

Sampai konsert pun tidak ada syarat ditetapkan. Ini semua rakyat melihat dan berlaku di negara ini.

Sebab itu, dari dulu lagi kalau ikut kepada rekod perjuangan Pertubuhan Bumiputera Perkasa (Perkasa), sayalah orang pertama dituduh rasis dan agresif. Saya bangkit isu kalimah Allah sehingga saya dituduh macam-macam.

Bagaimanapun, sekarang ini apa yang saya perjuangkan dulu semuanya menjadi kenyataan. Cuma orang lupa. Yang bercakap agenda Melayu, malah Islam pun saya lebih lantang daripada yang lain.

Tengok apabila pendakwah antarabangsa Dr. Zakir Naik hendak diusir dari Malaysia, siapa yang pertahankan beliau sampai ke mahkamah? Perkasa. Saya keluarkan duit poket sendiri untuk bayar peguam bela Dr. Zakir Naik.

Tapi siapa yang pergi ke mahkamah waktu Dr. Zakir Naik dibawa ke mahkamah? Tidak ada. Siapa pergi ke mahkamah waktu kes kalimah Allah bicara di Istana Kehakiman Mahkamah di Putrajaya? Ialah Perkasa.

Tetapi, selepas itu, ada orang usung Dr. Zakir Naik pergi ke Kelantan, kononnya mereka membela Dr. Zakir Naik, tapi dari segi kesungguhannya tidak ada. Semua ini terkumpul dan menyebabkan dibantu dunia media sosial ini seperti Tiktok yang dibuat oleh PN lebih hebat dari Tiktok PH. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast