MELAKA – Beberapa jalan pelancongan di Melaka akan ditutup selama enam jam dari pukul 6 petang hingga 12 tengah malam bermula Sabtu ini bagi tempoh percubaan pelaksanaan zon bebas kenderaan tidak lama lagi.
Jalan terlibat adalah dari Jalan Istana; Jalan Mahkamah; Jalan Gereja – Lorong Gereja- Jalan Laksamana – sebahagian Jalan Tun Khalil Yaakob (sebahagiannya untuk laluan kenderaan )- sebahagian Jalan Merdeka (sebahagiannya untuk laluan kenderaan )- Jalan Parameswara.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, percubaan di bawah program ride n run yang diadakan setiap minggu bermula Sabtu ini bagaimanapun tidak melibatkan pemindahan peniaga.
“Dalam tempoh percubaan ini, kita nak lihat bagaimana sambutan rakyat dan pelancong, apakah masalah yang timbul untuk kita pastikan lihat Melaka car free zone boleh dilaksanakan nanti.
“Penutupan jalan hanya dilakukan selama enam jam bermula 6 petang hingga 12 malam setiap hari Sabtu tanpa perlu peniaga dipindahkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Kibar Jalur Gemilang di Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di sini hari ini.
Turut hadir sama Datuk Bandar Melaka, Datuk Shadan Othman.
Mengulas lanjut, Rais berkata, MBMB dan Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) sudah berusaha sedaya upaya untuk mengurangkan beban yang dihadapi peniaga dalam tempoh penutupan itu.
“Sebab itu kita minta peniaga di situ masuk lebih awal sebelum 6 petang dan saya yakin MBMB dan BPP juga akan menguar-uarkan makluman ini lebih awal untuk memudahkan peniaga.
“Waktu tempoh percubaan ini penting untuk kita menilai apakah perkara-perkara yang perlu ditambak baik akan datang termasuk kenderaan buggy sebab itu kita perlukan komen masyarakat,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan kawasan pelancongan di sekitar Banda Hilir akan dijadikan zon bebas kenderaan bermula Jumaat hingga Ahad bermula pertengahan Jun lalu.
Usaha itu bagaimanapun dibantah lebih 2,000 peniaga daripada enam persatuan di Bandar Hilir di sini yang merayu kerajaan negeri mengkaji semula cadangan itu kerana bakal menjejaskan pendapatan mereka. – MalaysiaGazette