Krishh Haran Nair (tengah) diiktiraf Malaysia Book of Records sebagai kanak-kanak pertama menyumbang hasil jualan buku untuk tujuan amal.

KUALA LUMPUR – Krishh Haran Nair mungkin nama baharu dalam dunia penulisan tetapi semangat dan dedikasi kanak-kanak itu wajar dijadikan inspirasi.

Pada usia 10 tahun, penulis muda itu bukan sahaja berjaya menghasilkan dua buah buku iaitu Mysterious War in the Deep dan Pillar And The Golden Sword malah menderma setiap sen jualan bukunya kepada golongan memerlukan.

Lebih menarik lagi, kebolehan imaginasi hebatnya menarik perhatian ramai.

Bercakap dengan MalaysiaGazette, Krishh yang petah bercakap merupakan pelajar Sunway International Iskandar Johor berkata, minat menulis dan membaca terutama surat khabar sudah bermula sejak awal lagi.

Kata Krishh, semuanya bermula ketika Perintah Kawalan Pergerakan apabila gurunya telah memberi tugasan menulis cerpen dan dia  meminta kedua ibu bapanya untuk menerbitkan hasil penulisannya sebagai buku.

Selepas itu ia menjadi permulaan perjalanannya sebagai penulis muda.

“Ketika ini saya sedang menyiapkan buku ketiga. Setiap sen hasil jualan buku ini juga akan disedekahkan kepada golongan memerlukan terutama anak-anak yatim. 

“Semangat, dorongan, sokongan dan inspirasi ini sebenarnya datang daripada kedua ibu bapa saya. Ini adalah sesuatu yang telah diajar oleh ayah saya, Ramakrishnan Nair dan ibu, Jayanthimarlin kerana tanpa mereka semua ini adalah mustahil,” akuinya.

Krishh sebelum ini telah menyiapkan buku pertamanya dan berjaya mengumpulkan RM7,000 daripada hasil jualan dan telah menyumbangkan dana itu kepada Yayasan Sinar Ilmu Jaya (YSIJ).

Ini sekaligus menjadikannya diiktiraf dalam Malaysia Book of Records sebagai kanak-kanak pertama mencatatkan jualan tertinggi yang menyumbang melalui jualan amal.

Dalam projek kedua, Krishh menyiapkan buku dalam bentuk e-book dalam masa lima bulan dan mengumpulkan RM21,000.

Hasil jualan itu kemudiannya digunakan untuk membekalkan 500 kotak keperluan harian kepada golongan yang memerlukannya melalui YSIJ.

Kanak-kanak yang bercita-cita untuk menjadi pegawai tentera dan amat meminati permainan catur, bola sepak, berenang serta bermain dram sebagai hobi.

Dalam pada itu, ibu bapa Krishh, Ramakrishnan dan Jayathimarlin megakui sejak kecil lagi Krishh telah dipupuk meminati aktiviti membaca dan juga menulis.

“Kita memberikan Krishh keselesaan namun pada masa sama mahu dia belajar untuk memahami keperitan golongan memerlukan supaya dirinya sentiasa tampil membantu.

“Dengan semangat beliau, pasti perjalanan Krishh dalam dunia penulisan dan amal akan terus mengukir inspirasi dalam hati ramai,” kata Ramakrishan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast