Syaiful Rizal menyampaikan sumbangan wang tunai kepada Moreena ketika mengunjunginya di Kota Bharu semalam.

KOTA BHARU – Nasib seorang nenek yang menderita lumpuh akibat diserang angin ahmar di sini, mendapat perhatian Yayasan Bank Rakyat (YBR) yang tampil menghulurkan sumbangan bagi meringankan kehidupannya.

Kisah Moreena Mohamed, 59, yang lumpuh separuh badan dan dijaga cucunya berusia 11 tahun tular di media sosial memerlukan perhatian untuk meneruskan kehidupan.

Menurut Pengurus YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani, pihaknya terpanggil untuk melihat sendiri keadaan dialami Moreena yang hanya bergantung harap sepenuhnya kepada cucunya, Mohammad Hairis Haikal Abdullah.

Katanya, pihaknya menghulurkan bantuan berjumlah RM3,000 supaya dapat mengurangkan penderitaan yang ditanggungnya untuk membeli keperluan harian dan ubat-ubatan memandangkan Moreena tidak mempunyai sumber pendapatan.

“Selain wang tunai, YBR juga menyumbangkan kerusi roda bagi memudahkan pergerakan ibu ini,” katanya yang mengunjungi Moreena di rumahnya di Kampung Batu 8, Jalan Kuala Krai di sini semalam.

Turut hadir Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Selain wang tunai, Moreena turut menerima sumbangan kerusi roda daripada YBR untuk memudahkan pergerakannya dalam rumah.

Syaiful Rizal berharap lebih ramai lagi organisasi di luar sana turut sama membantu memberikan bantuan dalam apa jua bentuk kerana keluarga ini sememangnya amat memerlukan.

Menurut beliau lagi, suasana lebih memilukan apabila mendengar luahan ibu itu yang sebelum ini bekerja sebagai pengutip besi buruk untuk menyara kehidupan tidak dapat meneruskan pekerjaan akibat angin ahmar sejak April lalu.

Manakala cucunya pula tidak dapat menyambung persekolahan kerana perlu menjaga neneknya yang sakit.

“Kami doakan mereka diberikan kemudahan serta dapat menjalani kualiti kehidupan yang lebih baik dan juga mendapat lindungan Allah yang kini hanya menumpang di ruangan dapur rumah salah seorang ahli keluarga,” katanya.

Sementara itu, Moreena melahirkan rasa terharu kerana YBR sudi datang melihat keadaannya dengan menghulurkan bantuan untuk membeli bahan makanan serta memudahkan pergerakan harian dengan menggunakan kerusi roda.

Orang ramai yang hendak menghulur bantuan kepada ibu ini boleh menyalurkan bantuan di akaun Bank Islam bernombor 03036020502405 atas nama Siti Meriam Mohd Zin iaitu adik Moreena atau menghubunginya di talian 014-509 0240. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast