Seorang anggota polis berpangkat koperal dituduh terima rasuah RM1,000 di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Gara-gara rasuah RM1,000, seorang anggota polis trafik berpangkat koperal berdepan hukuman penjara dua tahun dan denda jika didapati bersalah.

Tertuduh, Ahmad Amin Khairul Komar, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain di Mahkamah Sesyen 2 di sini pagi ini atas empat pertuduhan menerima suapan.

Mengikut kertas pertuduhan, dia yang masih berkhidmat di bahagian siasatan dan penguatkuasaan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan didakwa menerima rasuah berjumlah RM1,000 menerusi empat transaksi berbeza secara atas talian enam tahun lalu.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa menerima RM200 melalui pindahan wang atas talian ke dalam akaun isterinya daripada seorang individu bernama Kong Seh Tat pada 3 Oktober 2017.

Begitu juga dengan pertuduhan kedua dan ketiga, Ahmad Amin dituduh menerima RM200 menerusi pindahan wang atas talian ke dalam akaun isterinya daripada individu sama pada 23 Disember 2017 dan 26 Januari 2018.

Bagi pertuduhan ke empat pula, dia dituduh menerima RM400 menerusi pindahan wang atas talian ke dalam akaun isterinya daripada individu sama pada 2 Mac 2018.

Bagi kesemua pertuduhan terbabit, dia boleh dihukum di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Rifah Izzati Abdul Mutalif manakala tertuduh diwakili peguam, Melissa Sukri.

Hakim kemudian menetapkan RM7,000 sebagai ikat jamin bersama seorang penjamin bercagar selain syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan passport kepada Mahkamah dan melapor diri di Pejabat SPRM terdekat setiap bulan bermula bulan ini.

Sebutan semula kes dan serahan dokumen ditetapkan pada 21 September depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Rasuah 1000 kena 2 tahun..ratusan juta, ribuan juta..boleh lepas . satu hakim masuk syurga 2 hakim ke neraka. mati itu pasti, azab kubur pasti, syurga neraka memang pasti.

Comments are closed.