KUALA LUMPUR – Pemimpin Pakatan Harapan (PH) tidak perlu panik dengan keputusan pilihan raya di enam negeri baru-baru ini.
Veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, masih ada perkara baik ‘dari awam hitam’ dalam pilihan raya negeri (PRN) yang berlangsung Sabtu lalu.
“Apa yang perlu dilakukan oleh Kerajaan Madani dalam empat tahun akan datang adalah untuk menyenaraikan dan melaksanakan visi Madani yang bermanfaat untuk semua rakyat Malaysia, baik orang Melayu mahu pun bukan Melayu,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini beberapa pemimpih PH melahirkan kerisauan kerajaan Madani yang didakwa gagal menarik sokongan golongan konservatif Melayu.
Ahli Parlimen Pasir Gudang (PKR), Datuk Hassan Abdul Karim, Ahli Parlimen Bukit Bendera, (DAP) Syerleena Abdul Rashid dan Setiausaha Agung Amanah, Mohd Hatta Ramli antara yang melontarkan kerisauan itu.
Kit Siang juga berkata, walaupun terdapat kemajuan dicatatkan oleh Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang tetapi ia bukanlah satu tsunami.
“Orang yang perlu risau adalah mereka yang menjangkakan PN akan menang besar sekurang-kurangnya 5-1 jika bukan 6-0 dalam pilihan raya negeri ini!
“Keputusan enam pilihan raya negeri ini mungkin menjadi paras sokongan tertinggi yang berjaya diraih oleh PN dan keputusan Pilihan Raya Umum ke-16 dalam masa empat tahun lagi pada tahun 2027 mungkin berbeza sama sekali,” katanya.
Tambah Kit Siang, kumpulan yang paling rugi dalam enam pilihan raya negeri adalah mereka yang percaya negara sudah mencapai satu tahap polarisasi antara kaum dan agama di mana terdapat perbezaan yang terlalu besar yang tidak dapat diperbetulkan lagi.
Keputusan enam PRN juga merupakan satu penolakan terhadap mereka yang cuba mengatakan bahawa usaha mempromosikan idea Malaysia sebagai sebuah negara majmuk bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Sementara itu, Kit Siang turut melahirkan perasaan gembira kerana DAP masih berjaya mendapatkan sejumlah besar undi Melayu di Selangor, Negeri Sembilan, dan Pulau Pinang
Katanya, DAP tidak akan mendapat undi daripada orang Melayu sekiranya parti itu adalah anti-Melayu, anti-Islam, anti-Raja, pencetus rusuhan 13 Mei 1969 di Kuala Lumpur atau komunis.-MalaysiaGazette