SHAH ALAM – Polis akan menguruskan proses mengumpul DNA waris mangsa untuk membuat proses pemadanan bagi pengecaman mayat terkorban dalam nahas pesawat Beechcraft 390 Premier 1 di Perumahan Elmina 8, Central Park Seksyen U16 di sini petang tadi.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, bagi tujuan itu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan akan dijadikan pusat untuk mengambil ujian DNA daripada waris mangsa-mangsa terkorban.
“Segala proses bedah siasat akan dikendalikan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang memandangkan ia hospital yang berada dalam radius terdekat lokasi nahas pesawat ini.
“Selain itu IPD Klang Selatan akan menguruskan proses kumpul DNA dari ahli keluarga mangsa nahas.
“Kita selepas ini akan menghubungi ahli keluarga untuk tampil bagi membantu polis melicinkan proses pengambilan DNA bagi membantu memudahkan proses pengecaman identiti mangsa nahas ini,” katanya dalam sidang media malam ini selepas turun meninjau lokasi nahas berkenaan.
Beliau sebelum itu diberikan taklimat oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengenai proses pencarian mangsa terkorban dan perkembangan terkini di lokasi.
Dalam pada itu, difahamkan IPD Klang Selatan sudah mula membuka pengambilan DNA ahli keluarga dan waris mangsa nahas pesawat malam ini.- MalaysiaGazette