Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu hadir ke Forum Eksekutif Merdeka Tadbir Urus Dalam Sektor Awam di Aras 1, Dewan Tan Sri Abu Zahar, Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 17 OGOS 2023.

KUALA LUMPUR – Warga Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) digesa menterjemahkan ikrar bebas rasuah dalam setiap tindakan dan keputusan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, langkah untuk memerangi rasuah bukan hanya melibatkan kepimpinan di peringkat atas an malah turut melata di segenap peringkat kementerian.

“(Ikrar bebas rasuah) adalah tanggungjawab bersama daripada peringkat atas hingga pekerja bawahan kerana ia menjadi dari barah kepada masyarakat dan negara.

“Ini satu program yang sangat baik semoga ikrar itu dapat kita laksanakan bersama untuk memulihkan kembali kedudukan negara dan prestasi perbelanjaan negara serta mengurangkan segala bentuk pembaziran yang kita lihat pendedahan itu samada pihak antarabangsa mahupun kajian bebas amat menggerunkan kita.

“Saya pun amat terharu dengan kehadiran orang yang ditakuti iaitu Ketua Pesuruhjaya SPRM (Tan Sri Azam Baki) kerana ini kita lihat kesungguhan pihak kementerian khasnya KSU yang baca ikrar tadi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Forum Eksekutif Merdeka Tadbir Urus Terbaik dalam Sektor Awam di Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), hari ini.

Ikrar bebas rasuah itu dibacakan Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Lokman Hakim Ali serta barisan pengurusan tertinggi kementerian, jabatan dan agensi KPKM.

Jelas Mohamad, semua warga KPKM perlu mengambil prinsip amanah sebagai paksi utama dalam mematuhi tanggungjawab dengan tadbir urus yang baik serta mencipta tatakelola Madani yang selari dengan citra Malaysia.

Menurutnya tadbir urus terbaik amat diperlukan supaya lonjakan ke masa hadapan menjadi lebin pantas dan seiring zaman serta tidak sekadar mengelakkan status-quo yang lapuk.

“Teguran tadi secara umum tidak kira daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sampailah kepada kakitangan awam di bawah.

“Betapa besarnya rasuah ini meruntuhkan kewibawaan negara dan kita boleh lihat negara kuat dan maju hampir kesemuanya indeks rasuah mereka agak rendah. Malaysia terkenal dengan integriti yang tinggi terutamanya selepas merdeka.

“Kepada pegawai kerajaan yang begitu berintegriti, kita harap dipulihkan dan dipertahankan kembali soal integriti termasuklah pemimpin politik yang kita tahu kadang dikritik oleh rakyat dalam perkhidmatan ataupun setelah berkhidmat,” katanya lagi.

Ikrar itu disaksikan Ketua Pengarah SPRM, Tan Sri Azam Baki. – MalaysiaGazette