Hakimah Mohd Yusoff

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memandang serius dakwaan ada pegawainya terlibat dalam aktiviti politik.

Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, pihaknya telah mengarahkan Jawatankuasa Tatatertib Jakim untuk bertindak segera di atas dakwaan berdasarkan isu yang tukar di media sosial itu.

“Tindakan ini diambil berpandukan kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

“Jabatan ini tidak akan teragak-agak untuk mengenakan tindakan tatatertib terhadap pegawai yang didapati melanggar sebarang peraturan ini,” katanya dalam kenyataan kepada media, malam tadi.

Kenyataan itu dipercayai merujuk penglibatan seorang pegawai kanan jabatan itu dalam aktiviti sebuah parti politik, termasuk memuat naik hantaran bersifat ekstremis agama.

Menurut Hakiman, sebagaimana sering diingatkan, semua warga kerja Jakim dinasihatkan sentiasa mematuhi semua peraturan sedang berkuatkuasa dan tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan integriti serta imej perkhidmatan awam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast