Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Langkah Pemuda UMNO Malaysia melakukan post-mortem bagi mengenal pasti punca kekalahan parti itu pada PRN ke-15 Sabtu lalu, perlu dibuat secara teliti tanpa rasa takut kepada sesiapa.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim berkata, post mortem itu mesti menggunakan fakta dan asas yang boleh dinilai serta dihalusi supaya tidak nanti dikatakan buat sekadar syarat.

“Pemuda nak buat post mortem boleh, tetapi biarlah telus dan berterus terang. Jangan takut untuk kemukakan hasil itu.

“UMNO pun sudah mengakui kekalahannya. UMNO telah dimalukan dan dotolak oleh rakyat yang sebahagian besarnya adalah orang Melayu.

“Saya harap Pemuda UMNO buat secara teliti dan objektif tanpa memihak atau takut dikenakan tindakan,” katanya menerusi rakaman video yang dimuatnaik dalam akaun Facebooknya, hari ini.

Selasa lalu, Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh dilaporkan berkata, akan melakukan post mortem agar hasilnya menjadi titik tolak perubahan parti kepada yang lebih baik.

Kata beliau, Pemuda UMNO memilih untuk tidak berterusan meratapi kegagalan parti dalam PRN baru-baru ini, sebaliknya akan mencari punca kekalahan dan solusinya.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan Zaid berharap, tiga parti orang Melayu iaitu UMNO, Pas dan Bersatu rapatkan kembali jurang pergeseran antara satu sama lain.

Ujar beliau, walaupun pihak atasan tidak mahu, tetapi pimpinan peringkat bawahan tiga parti perlu memulakannya.

“Eloklah tiga parti ini rapat kembali dan ambil ruang untuk perbincangan bagi memahami perjuanan antara satu sama lain.

“Jadilah seperti masyarakat Cina, bila mereka menolak MCA dan parti Gerakan untuk m=bersama DAP, bangsa mereka tidak berpecah.

“Saya harap orang Melayu dan pengundi Melayu pun begitulah. Kalau kita ada masalah dengan parti Bersatu, Pas atau UMNO, cubalah rapatkan atau kurangkan jurang pergeseran, cari jalan untuk bersama memikirkan masalah negara khususnya masalah orang Melayu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast