MPV polis megejar dan menyaman pemandu kereta Toyota Vios yang melakukan kesalahan memecut di lampu merah tanpa memberhentikan kenderaannya dalam kejadian pada SElasa di Telok Panglima Garang, Kuala Langat.

KUALA LUMPUR – Aksi biadab pemandu Toyota Vios memecut tanpa mengendahkan lampu isyarat berwarna merah mengundang padah.

Suspek berjaya dikejar kereta peronda polis dan dikenakan tindakan selepas enggan bekerjasama memberhentikan kenderaan untuk diperiksa polis.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridzwan Mohd Nor@Salleh berkata, kejadian itu berlaku pada 15 Ogos lalu pada jam lebih kurang 11 malam di Taman Sijangkang Jaya, Telok Panglima Garang, Banting dekat sini.

Katanya, siasatan polis juga mendapati insiden kejar mengejar berkenaan juga telah tular menerusi rakaman video TikTok pada Rabu.

“Semasa kejadian berlaku, anggota peronda MPV yang sedang bertugas telah ternampak sebuah kenderaan jenis Toyota Vios melanggar lampu isyarat merah simpang lampu isyarat Batu 7, Sijangkang, Telok Panglima Garan.

“Anggota polis kemudian mengarahkan kenderaan itu supaya berhenti namun pemandu kenderaan itu tanpa mengendahkan arahan itu terus memecut laju menyebabkan kereta peronda MPV mengejar kereta tersebut,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Tambah beliau, kereta yang dikejar itu telah memasuki ke kawasan Taman Perumahan Sijangkang Jaya sebelum anggota MPV berjaya menahan kereta tersebut.

“Hasil pemeriksaan mendapati kereta itu telah dipandu oleh seorang lelaki warga tempatan bersama isteri dan tiga orang anak dan pemeriksaan lanjut juga mendapati kenderaan itu tidak membawa apa-apa barang salah.

“Kemudian anggota peronda MPV telah mengeluarkan satu saman kepada pemandu kereta Vios itu atas kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat merah (Kaedah Rule LN167/59-017) yang membawa kepada kompaun sebanyak RM300,” tegasnya.

Pengamatan video viral itu juga mendapati penduduk dari taman perumahan itu yang terkejut dengan itu turut keluar rumah beramai ramai untuk menyaksikan insiden itu. – MalaysiaGazette