Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail

AMPANG – Seorang penuntut universiti swasta berhadapan detik cemas diperas ugut ‘polis’ yang dikenali di laman Twitter kononnya atas kesalahan dia adalah seorang gay.

Mangsa turut diugut akan ditangkap ‘polis’  sebelum menyerahkan wang RM3,000 bagi mengelak daripada dikenakan sebarang tindakan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, semasa kejadian di Ampang Jaya, pengadu yang berusia 24 tahun telah keluar dengan suspek menaiki kenderaan jenis Toyota Corolla Altis putih.

Katanya, suspek yang mendakwa dirinya ‘pegawai polis’ dari IPD Dang Wangi kemudian mengugut untuk memberitahu ibu mangsa kononnya dia adalah gay dan meminta RM3,000 bagi mengelak tangkapan.

“Akibat ketakutan ekoran ugutan suspek, pengadu telah membayar RM1,500 dan menghubungi rakan pengadu untuk memindahkan wang ke akaun miliknya untuk dibayar kepada suspek,” katanya.

Beliau berkata, suspek kemudian membawa mangsa ke BSN Ampang Point untuk mengeluarkan baki RM1,500 namun tidak berjaya, bagaimanapun penuntut berkenaan membuat pindahan secara dalam talian.

“Suspek meminta baki RM1,500 dipindahkan melalui online transfer ke sebuah akaun Maybank sebelum meninggalkan pengadu di hadapan Restoran Fatimah Ghous lalu beredar,” katanya dalam kenyataan pada hari ini.

Katanya, ekoran aduan mangsa pada, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Ampang Jaya telah berjaya membuat membuat tangkapan terhadap seorang lelaki tempatan berumur 32 tahun yang disyaki terlibat dalam kejadian jenayah tersebut.

“Semakan lanjut polis mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau kesalahan dadah dan ujian saringan air kencing adalah negatif dadah.

“Siasatan polis mendapati tujuan suspek berjumpa pengadu adalah untuk melakukan seks luar tabii sebelum suspek mengugut mangsa mahu menangkap semua pengamal LGBT di Malaysia sehingga menyebabkan pengadu ketakutan.

“Suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Ampang pagi tadi untuk proses reman dibawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan dibenarkan direman selama empat hari bermula hari ini sehinga 20 Ogos ini.

“Kes sedang dijalankan siasatan di bawah Seksyen 385 Kanun keseksaan merujuk kepada mendatangkan ketakutan bencana dengan tujuan hendak melakukan pemerasan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua dari keseksaan-keseksaan itu,” tegasnya.-MalaysiaGazette