Menteri Pengangkutan, Yang Berhormat Anthony Loke bercakap pada sidang media berkenaan kemalangan kapal terbang di Elmina ketika hadir di Bilik Mesyuarat Lapangan Terbang Subang, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 17 OGOS 2023.

KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa masih lagi mencari kotak hitam pesawat dikendalikan Jetvalet Sdn. Bhd yang terhempas di Elmina, Shah Alam, Selangor hari ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, Biro siasatan Kemalangan Udara (BSKU) sedang berusaha mengesan kotak hitam berkenaan.

“Semua protokol keselamatan telah diaktifkan sejurus insiden tersebut berlaku.

“Di bawah Kementerian Pengangkutan Biro Siasatan Kemalangan Udara telah diaktifkan dan pasukan BSKU telah dikerahkan ke tapak nahas untuk membuat siasatan.

“Dan sudah tentu misi pertama mencari kotak hitam pesawat tersebut. Misi pencarian kotak hitam tersebut sedang dijalankan ketika ini.” kata Anthony dalam sidang media.

Beliau turut mengesahkan terdapat lapan mangsa dalam pesawat iaitu dua juruterbang Shahrul Kamal Roslan dan Heikal Aras Abdul Azim.

Manakala enam penumpang adalah Khairul Azwan Jamaludin, Shahrul Amor Omar, Mohamad Naim Fawwaz Mohamed Muaidi, Datuk Seri Johari Harun, Muhammad Taufik Mohd Zaki dan Idris Abdol Talib @ Ramali.

Beliau berkata, kesemua mangsa terkorban di tempat kejadian dan identiti mangsa akan disahkan melalui proses forensik yang sedang dilaksanakan oleh pihak hospital.

Sementara itu Anthony berkata, pesawat persendirian jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) nombor pendaftaran N28JV terhempas kira-kira pukul 2.51 petang.

Pesawat berkenaan berlepas daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada pukul 2.08 petang ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah.

Kontek pertama pesawat dengan Menara Kawalan Trafik Subang pada pukul 2.04 petang dan pesawat itu diberikan kebenaran mendarat diberikan pada pukul 2.48 petang.

“Pada pukul 2.51 petang Menara Kawalan Trafik Subang telah melihat satu asap besar dari kawasan pesawat terhempas.

“Namun tidak ada panggilan kecemasan dibuat oleh pesawat tersebut dan semua protokol diaktifkan sejurus insiden berlaku,” katanya.

Anthony berkata, daripada pengamatan awal pesawat berkenaan telah melencong ke tepi daripada laluan asal sebelah kanan yang sepatutnya.

Sementara itu Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan  yang turut berada dalam sidang media memaklumkan mayat yang ditemui dalam keadaan berkecai. -MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast