Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bersetuju dengan tindakan setengah-setengah pihak yang menyalahkan orang Melayu dan fahaman kaum itu berhubung kegagalan Kerajaan Perpaduan menarik sokongan dalam pilihan raya negeri.

Perdana Menteri juga tidak bersetuju dengan dakwaan kononnya orang Melayu mudah terpengaruh dengan hasutan berunsur perkauman dan agama.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan berkata, menjadi tanggungjawab jentera dan kepimpinan Kerajaan Perpaduan untuk mendekati kumpulan itu.

“Ini satu cabaran kita cuba menyantuni dan menjelaskan kepada mereka. Kerana ia mudah kalau PH menang, DAP dan Cina berkuasa habis, negeri kita habis rakyat habis. Itu kenyataan satu minit TikTok itu mungkin menyakinkan dia. Saya tahu tidak benar. Tapi saya tidak akan salahkan kerana ia ambil masa.

“Madani ini satu konsep yang menyeluruh, dia tak nampak ratus juta dan bilion yang lain. Dia tidak tahu yang dia sokong itu kadang-kala orang kayanya ratusan juta ringgit.

“Saya tak mahu salahkan dia, tetapi tanggungjawab kita (iaitu) jentera, pimpinan mesti bekerja lebih keras untuk memaknai dan menterjemahkan dasar ini,” kata Anwar.

Anwar ditemui selepas merasmikan projek Residensi Wilayah, Residensi Prihatin Madani dan Pusat Penjaja Madani di Desa Tasik hari ini.

Perdana Menteri menegaskan, beliau turut tidak setuju dengan andaian spontan yang cuba menyalahkan dan menghukum anak muda yang didakwa terpesong.

Anwar berkata, beliau telah menyampaikan nasihat sama kepada anggota Kabinet agar menyantui kumpulan tersebut dengan ikhlas yang akan memakan masa dalam mendapatkan sokongan.

“Kita cuba selesaikan dengan menyantuni rakyat dengan gunakan hikmah, kebijaksanaan dan keyakinan. Ini saya tegaskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam.

“Jalankan kerja dengan ikhlas, mustahil ditolak kerana keihlkasan dan kerana sikap keras menolak rasuah,” kata Anwar.

Beliau ditanya mengenai sebilangan besar pengundi Melayu yang memilih parti pembangkang dalam PRN di enam negeri walaupun pelbagai cara telah dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan bagi menarik sokongan kumpulan itu. – MalaysiaGazette