KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menyokong penuh sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dikembalikan segera dengan mekanisme yang lebih baik.
Perkara itu dinyatakan Pengerusi Biro Ekonomi Putra, Dr. Mohamad Izwan Zainal yang menyifatkan GST adalah alternatif yang mampu menambah hasil negara berbanding sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sekarang.
Kata beliau, GST juga merupakan sistem yang telah dikenalpasti tidak berlaku ketirisan terhadap pelaksanaan kutipan cukai, manakala SST memberi ruang manipulasi bayaran cukai oleh pihak berkepentingan.
“Tambahan pula, dengan keadaan pendapatan negara tidak stabil dan hutang mencecah sehingga RM1.4 trilion, maka GST adalah alternatif terbaik yang mampu menambah hasil negara.
“Suka atau tidak, GST terbukti berkesan dan boleh menjadi penyelamat kepada ekonomi Malaysia serta berperanan penting dalam membantu menguruskan negara untuk tempoh beberapa tahun akan datang.
“Justeru, Biro Ekonomi Putra menyokong penuh sistem GST ini dikembalikan segera dengan mekanisme yang lebih baik dan menggantikan SST sedia ada,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Semalam, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menggesa kerajaan mengkaji pelaksanaan semula GST yang dimansuhkan pada 2018.
Presidennya, Norsyahrin Hamidon dilaporkan berkata, ini kerana GST adalah sistem cukai paling cekap di dunia dengan lebih 172 daripada 193 negara melaksanakannya.
Katanya, ramai orang dan usahawan tidak suka GST, tetapi ia adalah regim cukai paling efisien di dunia, banyak negara sudah buat, namun Malaysia antara negara yang tidak melaksanakannya.
Menurut Dr. Mohamad Izwan, Ketua Penyelidik Serantau Asia Tenggara Global Research of Standard Chartered, Edward Lee juga berpendapat, GST adalah punca hasil sangat penting bagi negara ini kerana memudahkan perancangan kerajaan meneruskan komitmen sedia ada terhadap subsidi yang dinikmati seluruh rakyat.
Beliau yang juga Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Putra menyatakan, mekanisme enam peratus yang dilaksanakan sebelum ini terlalu tinggi dan memberikan impak kepada masyarakat walaupun dilaporkan terendah di kalangan negara Asian.
Namun, katanya, beberapa pendekatan yang lebih baik untuk GST 2.0 boleh dicadangkan untuk digunapakai dengan pelaksanaan mekanisme tiga peratus daripada transaksi perbelanjaan.
“GST ini adalah salah satu pendekatan kerajaan yang mampu untuk menilai dan meneliti perbelanjaan rakyat khusus kepada satu-satu segmen yang boleh diberikan petunjuk jelas ke manakah perbelanjaan tunai disalurkan.
“Dengan menyoroti sejarah GST negara yang diperkenalkan pada 2015 ternyata memberikan impak perolehan pendapatan negara sekitar 18 peratus keseluruhan hasil dan ini memberikan kesan baik kepada perbelanjaan negara.
“Selain itu, GST ini dikenakan kepada golongan T20 untuk peringkat permulaan dan boleh turun serendah golongan M40 tanpa melibatkan B40 sebagai penerima manfaat,” katanya.
Bagaimanapun, kata beliau, syarat premis perniagaan, pengilangan dan pengeluar yang dikenakan GST perlu lebih jelas.
Ini katanya, bagi memastikan pelaksanaan itu tidak disalahgunakan sehingga memberikan kesan kepada sentimen negatif masyarakat.
“Ianya lebih kepada penguatkuasaan dalam menilai sesuatu premis sama ada layak atau tidak untuk mengenakan GST tanpa disalahgunakan dan kesannya membebankan rakyat.
“Manakala perkhidmatan dan proses tuntutan atau pelarasan GST juga perlu ditambah baik dari segi tempoh masa supaya dapat memperkuatkan aliran tunai satu-satu perniagaan dan kesannya kepada sentimen positif syarikat yang dikenakan dan mengenakan GST.
“Hasil kutipan GST pula boleh digunakan kepada kumpulan sasar penerima tanpa menarik subsidi yang ketika ini kerajaan gemar lakukan dengan sentimen kononnya subsidi bersasar, tetapi tidak mahu menerima hakikat konsep ini boleh memberikan kesan buruk kepada masyarakat,” ujar beliau. – MalaysiaGazette