SPRM mengesan dua individu bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian. - Foto SPRM

KUALA LUMPUR – Peguam dan juga pengarah serta pemegang saham NERS Sdn Bhd (NERS) Mansoor Saat menegaskan beliau bukan melarikan diri sebaliknya meninggalkan Malaysia secara sah.

Menyifatkan dirinya sebagai ‘collateral damage’, Mansoor justeru itu tidak menolak kemungkinan menyaman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berikutan penyenaraian nama beliau dalam “dikehendaki SPRM”.

Turut disenaraikan Datuk Muhammad Adlan Berhan yang merupakan menantu kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam satu kenyataan hari ini, Mansoor mendakwa ada unsur politik dalam keseluruhan episod pemburuan beliau oleh SPRM.

“Saya percaya ada unsur politik dalam keseluruhan episod ini, yang amat malang.

“Saya seorang ahli perniagaan serta peguam bela dan peguam cara yang mempunyai hubungan perniagaan dengan ramai orang lain, dan saya terkejut kerana hubungan saya dengan (Adlan) menjadi sasaran,” katanya.

Beliau juga menegaskan tidak akan kembali ke tanah air selagi ‘dianiaya’.

Artikel berkaitan: 

Terdahulu SPRM dalam kenyataan memaklumkan semakan rekod mendapati kedua-dua individu terbabit sudah meninggalkan Malaysia, masing-masing pada 17 Mei dan 21 Mei lalu.

Setakat ini, tiada rekod menunjukkan kedua-duanya kembali ke Malaysia.

“Individu pertama, Muhammad Adlan Berhan, 48, mempunyai alamat terakhir di Lot 65, Sunway Kiara Hills, Jalan 32/70A Desa Sri Hartamas, di sini.

“Individu kedua, Mansoor Saat, 69, beralamat terakhir di 5 Jalan SS19/1C Subang Jaya, Selangor,” kata suruhanjaya itu menerusi kenyataan 9 Ogos lalu.

Berita lanjut menyusul. – MalaysiaGazette