Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi pegawai penjara ketika hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 15 OGOS 2023.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak supaya hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menarik diri daripada mendengar kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada 14 Ogos lepas, bekas Perdana Menteri itu memfailkan permohonan agar Collin menarik diri daripada mendenghar kes tersebut berikutan pendedahan hakim itu bahawa beliau dan bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan pernah menjadi rakan kongsi (di firma Zain & Co) ketika menjadi peguam antara 10 hingga 15 tahun lalu.

Collin yang memutuskan perkara itu berkata, Najib gagal menunjukkan terdapat risiko bahawa beliau akan bertindak berat sebelah jika terus mendengar perbicaraan tersebut.

Collin Lawrence Sequerah

Collin yang kini menrupakan Hakim Mahkamah Persekutuan bersetuju dengan hujah pasukan pendakwaan bahawa tiada kaitan antara isu dalam perbicaraan kes 1MDB dan hubungan lampaunya dengan Jasmine Loo di firma guaman tersebut.

Dalam permohonan itu, Najib memohon perintah supaya prosiding 1MDB dibatalkan dan beliau dilepas dan dibebaskan, atau kes berkenaan dibicarakan semula oleh hakim baharu atau perbicaraan bersambung di hadapan hakim baharu.

Jasmine Loo merupakan bekas sekutu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low yang didakwa dalang di sebalik skandal 1MDB.

Wanita itu kemudian melarikan diri ke luar negara sebelum pulang pada bulan lepas, lalu ditahan dan direman oleh polis bagi membantu siasatan 1MDB.

Dipercayai beberapa aset berkaitan syarikat itu yang dimiliki Jasmine Loo akan disita dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, ketua peguam bela yang mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan bagi permohonan itu selain memohon perintah untuk menangguhkan prosiding.

Bagaimanapun Collin tidak membenarkan permohonan penangguhan perbicaraan sementara menunggu rayuan.

Najib berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion milik dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama. – MalaysiaGazette