Balu kepada Shaharul Amir Omar, Sulaila Akasha, 46 bercakap kepada media mengenai nahas pesawat terhempas di Perumahan Elmina 8 ketika di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang. Foto MOHD ADZLAN, 18 OGOS 2023

KLANG – Rasa tidak senang hati seorang isteri ternyata membawa berita duka apabila mengetahui suaminya Allahyarham Shaharul Amir Omar, 49, antara korban nahas pesawat sama.

Memetik laporan BERNAMA, Suhaila Akasha, 46, berkata rasa tidak senang hati bermain dalam fikirannya apabila mengetahui tentang kejadian itu di media sosial dan mula rasa terdetik suaminya terlibat sama walaupun beliau pada masa itu tidak tahu suaminya adalah penumpang pesawat berkenaan.

“Sekarang zaman media sosial, jadi bila kita tengok hati kita terdetik, naluri kita sebagai seorang isteri, walaupun tiada siapa yang beritahu dia ada dalam kapal terbang itu.

“…tapi bila kita tengok jenis kapal terbang itu dari mana, jam berapa, kemudian ada orang maklumkan dia ada dalam pesawat itu, saya terima lah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik HTAR.

Suhaila hanya mengetahui berita mengenai suaminya yang merupakan pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) daripada Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan yang memaklumkan Allahyarham antara nama yang disenaraikan menaiki penerbangan terbabit.

Allahyarham, yang merupakan pegawai kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun, meninggalkan empat orang anak.

Suhaila berkata, gerak rasanya menyebabkan dia tidak begitu terkejut apabila suaminya disahkan antara 10 orang yang maut dalam nahas pesawat tersebut.

Menurut beliau, suaminya ada menghubunginya malam sebelum kejadian antara lain memaklumkan tentang pergerakan pulang dari Langkawi ke Subang.

Katanya, dia belajar menerima apa yang telah ditakdirkan dan segera memaklumkan tentang tragedi itu kepada anak-anaknya di asrama.

Semalam, pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina mengakibatkan 10 individu termasuk Johari maut.

Lapan yang meninggal dunia terdiri daripada enam penumpang dan dua juruterbang pesawat itu, manakala dua lagi adalah orang awam, masing-masing merupakan penunggang motosikal dan pemandu kereta yang berada di kawasan nahas.

Pesawat itu berlepas dari Langkawi menuju Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) mendapat kebenaran untuk mendarat jam 2.50 petang namun terhempas dua minit sebelum mendarat. – MalaysiaGazette